HELWA ABIM ke Gua Musang untuk Misi Psychological First Aid, bersama Rahmah Support Team

January 15, 2022
editor@abim

HELWA ABIM bermusafir ke Gua Musang untuk Misi Psychological First Aid bersama Rahmah Support Team

Beberapa kawasan di negara kita dilanda banjir besar yang tidak diduga baru-baru ini. Kehilangan nyawa harta benda dalam sekelip mata. Pelbagai reaksi emosi yang tidak dapat digambarkan dek kata-kata. Hanya air mata yang mampu diperlihatkan dalam menterjemahkan emosi mereka.

Bagi yang selamat dan menyaksikan bencana, pasti ada trauma yang membekas. Gangguan trauma pasca bencana adalah satu kondisi gangguan kesihatan mental akibat peristiwa yang tidak dijangka, khususnya emosi kanak-kanak.

Alhamdulillah, pada 7-8hb Januari 2022, tim Misi Psychological First Aid (PFA) RAHMAH – Rahmah Support Team (RST) dan HELWA ABIM telah menggerakkan misi bantuan di Gua Musang, Kelantan. Perjalanan yang mengambil kurang lebih 5 jam diiringi bacaan suratul Kahfi oleh HELWA ABIM ketika memulakan perjalanan selepas solat Jumaat.

RST bersama tim Pertubuhan Prihatin Kanak-Kanak Kelantan #KidsKelantan dan #ProjekTumboh telah menyantuni anak-anak mangsa banjir yang akan memulakan sesi persekolahan.

Sumbangan berbentuk kelengkapan sekolah (sumbangan #ProjekTumboh), pakaian dalam (sumbangan #ProjekUnderwear Majlis Belia Malaysia (MBM) juga sesi PFA (oleh sukarelawan RST) bagi menyediakan anak-anak ini untuk melalui tahun persekolahan baru dengan lebih bersemangat dan ceria walaupun setelah melalui musibah bencana di kala pandemik yang sangat mengesankan psikologi dan emosi mereka.

Seramai 115 anak-anak berumur lingkungan 7-17 tahun menerima sumbangan dan beraktiviti bersama RST di dewan orang ramai di sana. Semoga sumbangan ikhlas tuan puan menyerikan pengalaman kembali ke sekolah mereka.


Terdahulu, HELWA ABIM dan RST turut turun ke lapangan selama dua hari, untuk aktiviti terapi seni (melukis, mewarna, bermain dan bercerita) bersama kanak-kanak yang terkesan akibat bencana banjir di PPS SRA Bukit Changgang dan PPS SK Bukit Changgang, Kuala Langat. Jumlah kanak-kanak yang terlibat dianggarkan lebih 100 orang di kedua-dua PPS.

Misi PFA Rahmah turut disambung ke beberapa lagi PPS sekitar Kuala Langat termasuk PPS SK Labohan Dagang, PPS SK Olak Lempit, PPS SK Kota Warisan dan PPS Dewan Kampung Orang Asli Bukit Serdang.

Pada 30hb Disember 2021, seramai 9 orang sukarelawan dewasa dan 3 orang sukarelawan cilik daripada Rahmah Support Team (RST) telah turun menyantuni 35 rumah masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Serdang, Dengkil. Pihak RST turut dibantu oleh Ustaz Mohd Ridzuan Bin Omar selaku penggerak masyarakat Orang Asli (JAKIM) Daerah Kuala Langat dan isteri beliau Puan Farhi sepanjang ziarah di sana.

Ziarah sukarelawan dari rumah ke rumah mendapati masih ada lagi rumah yang ditenggelami air tetapi penduduk membuat keputusan untuk membina khemah dan tinggal di situ sementara menunggu air surut.

Rata-rata penduduk menyambut tim RST dengan senyuman yang tidak lekang di bibir dan menyantuni kehadiran kami dengan sangat baik walaupun masih sibuk mengemas kediaman dan pakaian yang rosak akibat banjir.

Selain menyerahkan sumbangan masyarakat seperti permainan, makanan dan juga set alat tulis,sukarelawan turut menjalankan PFA(Psychological First Aid) sepanjang ziarah dilakukan dan menyampaikan risalah RST kepada semua rumah.


Pada 28hb Disember 2022, bertempat di Kampung Kebun Bunga, Batu 3, Shah Alam, HELWA ABIM dan tim PFA RAHMAH kali ini kami turun langsung ke rumah-rumah mangsa banjir dan berkhidmat secara terus untuk sokongan psikososial di lapangan.

Pasukan PFA RAHMAH bersama Pasukan Sukarelawan Permatang Pauh menyantuni 6 buah rumah di Batu 3 Shah Alam. Kerosakan total akibat banjir kilat yang naik tinggi paras bumbung menyebabkan penduduk berdepan kehilangan yang sangat besar.

Dengan jajaran idea memberi bantuan terus yang bersifat multi-dimensional, tim PFA RAHMAH dijemput bersama turun ke lapangan. Melalui misi ad-hoc ini kami belajar banyak perkara baru dalam skop memberi khidmat sokongan dan kaunseling.

Antara yang kami santuni termasuk anak perempuan kecil lingkungan umur 2-3 tahun yang melalui pengalaman mengharung banjir setinggi paras dada ayahnya. Sewaktu kami tiba dia saya lihat sangat “reserved”. Kami duduk di situ, buat sedikit terapi melukis dan bermain bersama. Sambil bermain, ajak bersembang tentang apa saja yang dimain dan diconteng, sedikitpun tak disentuh tentang banjir yang terjadi.

Dari seorang yang kaku, anak kecil ini menjadi sangat ceria dan mesra. Ketika hendak bergerak pulang dialah yang paling manis senyumannya.

Sementelah, pada 27hb Disember 2021, HELWA ABIM bersama RAHMAH SUPPORT TEAM telah memenuhi permintaan pihak PPS di SMK Kuala Selangor untuk menjalankan aktiviti Terapi Seni dan Terapi Bermain bersama mangsa-mangsa banjir yang terdiri daripada 50 orang kanak-kanak, dan 50 orang ibu bapa.

Musibah banjir pastinya mempunyai kesan terhadap emosi tidak kira orang dewasa mahupun kanak-kanak. Kami memilih Terapi Seni sebagai kaedah bagi membantu mangsa banjir meluahkan rasa dan fikiran mereka.

Kebanyakan peserta dewasa terdiri daripada ibu bapa dan atuk nenek dalam kategori warga emas, yang melukis rumah bersama binatang kesayangan dan tanaman yang pastinya telah musnah akibat banjir yang melanda. Ini menunjukkan emosi warga emas juga sangat terkesan akibat musibah banjir ini. Semoga usaha kecil ini mampu meringankan beban emosi mereka, dan dapat membantu mengatasi kesulitan dengan sebaiknya.


Pada 25hb Disember 2021 (Sabtu), Tim Sukarelawan PFA Rahmah turun ke lapangan menziarahi mangsa banjir di PPS SK Labohan Dagang dan SK Olak Lempit di Kuala Langat untuk Misi PFA RAHMAH 3.0. RST menyantuni lebih kurang 240 anak-anak mangsa banjir di kedua-dua PPS tersebut. Aktiviti berkisar terapi bermain dan terapi seni akan digunakan untuk membantu anak-anak di sana pulih dari trauma banjir.

Pada 22hb Disember 2021 (Selasa), atas inisiatif menyampaikan Misi PFA RAHMAH, sukarelawan RST turun bersama ke PPS Bukit Changgang, Kuala Langat Selangor dan menjalankan aktiviti Terapi Seni (Art Teraphy) bersama 50 orang kanak-kanak di sekolah rendah yang dipindahkan ke sini. Mereka diminta untuk melukiskan gambar rumah, pokok serta orang dan apabila melihat hasil kreativiti mereka, ada kanak-kanak yang mula melukiskan gambaran air berombak. Ini antara refleksi trauma kesan daripada bencana banjir yang mereka hadapi.

Terapi Seni (Art Therapy) ini memberi ruang pada kanak-kanak meluahkan apa sahaja yang terfikir dan terpendam dalam diri mereka akibat trauma yang dihadapi. Tekanan yang dialami mungkin dapat diekspresikan melalui terapi seni ini. Team RST menggunakan lukisan sebagai alat yang membantu dalam hubungan menolong bagi Misi PFA RAHMAH kali ini.

Terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang bagi Misi PFA RAHMAH ini. Sesungguhnya sumbangan anda sangat bermakna dan membawa kegembiraan kepada semua yang menerima.

Setinggi penghargaan kepada semua sukarelawan yang terlibat meluangkan masa dan tenaga. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian. Semoga dengan hadiah kecil kami, dapat terus menyuntik semangat kepada semua penduduk orang asli bagi terus bangkit mendepani pasca banjir besar yang tidak terduga ini.

#RahmahSupportTeam #HelwaABIM #PsychologicalFirstAid #PsychosocialFloodRelief #BangkitBersama #RahmahUntukSemua

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR