KENYATAAN MEDIA

HELWA ABIM GESA KERAJAAN DAN MASYARAKAT AMBIL SERIUS DALAM MENANGANI ISU KEGANASAN SEKSUAL.
Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius laporan berkaitan kes rogol, sumbang mahram, kehamilan luar nikah dan isu-isu sosial terkait hubungan seksual remaja dan masyarakat yang semakin membimbangkan khususnya di negeri Kelantan.
Perkara ini bukan sahaja mencerminkan krisis moral dan sosial yang parah, tetapi turut menunjukkan kegagalan sistem sokongan semasa dalam memberikan pendidikan, perlindungan, serta intervensi awal yang berkesan kepada kelompok remaja dan wanita yang terdedah kepada risiko ini.
HELWA ABIM menekankan bahawa isu ini tidak boleh dipandang remeh atau diselesaikan secara reaktif semata-mata. Ia menuntut pendekatan menyeluruh dan bersepadu, merangkumi pendidikan seksual dan reproduktif yang berteraskan nilai, pemerkasaan wanita serta intervensi sokongan psikososial untuk mangsa dan individu berisiko tinggi.
Justeru, HELWA ABIM mencadangkan tindakan berikut bagi membantu sekaligus menangani isu keganasan seksual dan pendidikan reproduktif;
1. Membina kerjasama berstruktur antara pihak kerajaan negeri, jabatan agama, PDRM, NGO dan agensi perkhidmatan sosial untuk mengekang isu ini dari akar umbi.
2. Mewujudkan mekanisma perkongsian data secara beretika dan terjamin agar tindakan susulan dan dasar yang dirangka menjadi lebih berfokus, menyeluruh dan bersasar.
3. Pertimbangan terhadap prasarana rumah yang mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan isi rumah, seperti syarat minimum bagi rumah kos rendah ialah tiga bilik tidur .
4. Penumpuan dan penekanan terhadap pendidikan keibubapaan, pendidikan seksualiti dan pendidikan agama yang berterusan, sistematik dan relevan dengan konteks semasa, yang tidak hanya dilakukan secara bermusim atau melalui ceramah umum di masjid.
5. Merujuk Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam melaksanakan program pendidikan dan kesedaran yang bersifat holistik kepada golongan sasar.
HELWA ABIM menegaskan bahawa setiap remaja dan wanita berhak mendapat perlindungan, pendidikan dan peluang untuk bangkit semula tanpa stigma.
Isu-isu berkaitan seksualiti dan kesihatan reproduktif perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab dan empati, bukannya dengan penghakiman atau pengabaian.
Sehingga kini, HELWA ABIM telah menggerakkan pelbagai inisiatif termasuk penubuhan rumah perlindungan dan bimbingan wanita hamil luar nikah yang datang dari seluruh negara termasuk Kelantan, selain menjalankan program bimbingan serta pemulihan yang bersifat inklusif dan berasaskan nilai Islam.
Dalam masa yang sama, HELWA turut menjalankan program pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif (SRHE) di beberapa negeri, dengan kerjasama sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat.
ABIM dan HELWA komited untuk terus menggerakkan usaha membangun diri remaja wanita dan penyedia sokongan terhadap isu ini, serta terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak demi menjamin masa depan generasi muda yang lebih sejahtera, bermaruah dan terpelihara.
Dr. Fatin Nur Majdina Nordin
Naib Presiden ABIM (HELWA)
