KENYATAAN MEDIA
HELWA ABIM GESA PERANGI BULI, ELAK SENSASI ISU SERTA UTAMAKAN FAKTA DALAM PERBINCANGAN
22 Ogos 2025M bersamaan 28 Safar 1447H
1. HELWA ABIM memandang serius perkembangan isu berkaitan kes buli di Sabah yang telah menjadi perhatian umum. Amat mendukacitakan apabila terdapat pihak yang lebih cenderung mempercayai ulasan sensasi berbanding menilai fakta sebenar. Kecenderungan ini bukan sahaja mengundang salah faham, malah berpotensi menimbulkan fitnah yang akhirnya merugikan mangsa, keluarga, institusi pendidikan serta masyarakat secara keseluruhannya.
2. Masyarakat wajar menilai sesuatu isu dengan objektif dan berlandaskan maklumat sahih, bukannya semata-mata mengikut emosi atau sentimen sempit. Amalan menyebarkan dakwaan tanpa usul periksa bukan sahaja menjejaskan reputasi individu, malah melemahkan kepercayaan umum terhadap institusi rasmi. Dalam kes ini, kecenderungan kepada naratif yang tidak benar telah mencetuskan persepsi yang memudaratkan serta mengganggu proses siasatan.
3. Kami yakin dan percaya bahawa Menteri Pendidikan yang juga bekas pengamal undang-undang telah menjalankan tanggungjawab beliau secara profesional dengan meneliti fakta, mendapatkan maklumat rasmi, serta memberi reaksi yang sewajarnya. Namun begitu, tindakan beliau masih dipersoalkan bahkan timbul video-video lama yang langsung tidak ada kaitan dengan kes semasa. Perkara ini bukan sahaja menyalahi etika perbincangan awam, malah menunjukkan kegagalan sesetengah pihak untuk menghormati prinsip kebertanggungjawaban dan integriti.
4. Sehubungan itu, HELWA ABIM menyeru agar semua pihak fokus dalam menanggapi isu-isu pendidikan dengan mengutamakan fakta, penyelesaian dan kesejahteraan pelajar, bukannya menambahkan luka dengan persepsi yang bersifat menghukum. Peranan media juga amat penting dalam memastikan laporan yang dibuat tidak hanya berbaur sensasi, sebaliknya menyalurkan maklumat tepat yang boleh membantu membentuk persepsi sihat dalam kalangan rakyat.
5. Kami turut menyeru agar seluruh masyarakat menggembleng usaha dalam memerangi buli dan tidak menyebarkan dakwaan palsu. Setiap pihak perlu berperanan membina budaya dialog yang berhemah, berfakta dan bertanggungjawab. Hanya dengan cara ini, kita mampu memastikan isu buli dan cabaran pendidikan ditangani dengan adil, berkesan, dan berpandukan kepentingan generasi muda negara.
6. Dalam masa yang sama, kami menegaskan bahawa sebarang bentuk demonstrasi atau gesaan supaya Menteri Pendidikan meletakkan jawatan wajib berpaksikan fakta sahih serta alasan yang benar-benar kukuh. Adapun semangat demokrasi diangkat, namun tuntutan yang didorong rapuh serta berorientasikan naratif sensasi hanya merendahkan mutu wacana awam, menjejaskan kepercayaan masyarakat, dan mengalihkan perhatian daripada isu pokok yang lebih mendesak untuk diselesaikan, iaitu keselamatan pelajar, kesejahteraan sekolah dan keberkesanan sistem pendidikan negara.
7. HELWA ABIM komited untuk terus mendukung agenda pendidikan yang adil, berintegriti dan berpaksikan kepentingan pelajar. Kami menyeru semua pihak agar kembali kepada asas: tuntutan berasaskan fakta, mengutamakan penyelesaian, dan bersama-sama memastikan sekolah menjadi ruang selamat, sejahtera dan mendidik untuk anak-anak kita.
Hentikan Buli dengan Fakta, Bukan Fitnah!
It takes a village to raise a child!
DR. FATIN NUR MAJDINA NORDIN
NAIB PRESIDEN ABIM (HELWA)
