
12 Ogos 2025 – Dr. Fatin Nur Majdina Nordin, Naib Presiden ABIM (HELWA) merangkap Pengerusi Rahmah Support Team (RST ) dan Timbalan Pengerusi Bayt al Rahmah menyeru agar orang ramai menghentikan stigma buruk terhadap pesakit mental.
Hal ini kerana, jika sakit atau luka fizikal seperti sakit jantung, diabetes, ataupun cedera anggota; pesakit diminta untuk berjumpa doktor mahupun pakar, begitu juga dengan pesakit mental. Kedua-duanya perlu diberi perhatian dan dirawat untuk mengembalikan kefungsian diri.

Hadir mengisi Sidang Plenari: Jiwa Rapuh, Apa Ubatnya? anjuran YADIM, Dr. Fatin turut berkongsi cara mencipta kebahagiaan diri. Merujuk kepada Imam Al Ghazali, kenal diri merupakan salah satu langkah awal. Setiap yang mukallaf dituntut untuk mengenal dan mengetahui potensi diri kerana ia membantu seseorang mengetahui misi hidup dan seterusnya bangkit dari sebarang masalah dan tekanan. Setiap pesakit berpotensi untuk pulih kerana manusia merupakan makhluk terbaik ciptaan Allah dan dikurnia akal untuk berfikir.
Penjagaan aql, qalb, ruh dan jasad juga perlu dipenuhi. Membaca dan menuntut ilmu adalah cara mengisi keperluan aql dan qalb manakala amalan ibadah, zikir dan tadabbur merupakan makanan bagi ruh. Cara penjagaan jasad pula adalah melalui pemakanan yang sihat, tidur yang cukup serta gaya hidup sosial yang baik dan bersih.

Justeru, Dr. Fatin mengajak masyarakat untuk sama-sama membantu pesakit fizikal mahupun mental melalui sokongan komuniti. Sifat empati, ihsan, hormat, peduli serta penyediaan ruang selamat diperlukan untuk para pesakit pulih; bukan dengan membuli mahupun menghukum.
Perkongsian berikut telah dibentang dalam Simposium Solusi Kesihatan Mental daripada Perspektif Dakwah (SMILED) Siri 3 bertempat di Dewan Seroja Presint Diplomatik, Presint 15, Putrajaya. Turut hadir sebagai panel ialah Dr. Norli Abdul Jabbar (Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia) dan Dr. Alizi Alias (Konsultan Psikologi Organisasi). Simposium telah dirasmikan oleh Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom.
