Iktibar Di Sebalik Pergaduhan Di Plaza Low Yat - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Iktibar Di Sebalik Pergaduhan Di Plaza Low Yat

Sememangnya Plaza Low Yatt amat sinonim dengan peminat gajet tempatan. Harga yang ditawarkan secara amnya lebih rendah berbanding tempat lain. Begitu juga dengan variasi pilihan yang merangkumi pelbagai model jenama dan fungsi. Pergaduhan yang tercetus baru-baru ini amat dikesalkan. Penipuan berlaku bukan kerana bangsa. Ia dilakukan atas dasar tamak haloba dan mahukan keuntungan berlipat kali ganda.

Cina tipu Melayu, Cina tipu Cina, Melayu tipu Cina dan Melayu tipu Melayu, berlaku di segenap segi, setiap masa dan tempat. Apabila sentimen perkauman dimainkan ia bukan sahaja mengarah kepada penjual yang menipu (dalam kes ini berbangsa Cina), tetapi juga akan merangkumi setiap pihak yang berada di premis tersebut.

Ia termasuklah peniaga yang jujur, pekerja Melayu, pemilik kedai makan Melayu (ada kedai nasi ayam), peniaga aksesori, pemborong aksesori gajet dan pelbagai lagi. Ada peniaga aksesori telefon bimbit di pasar malam yang mendapatkan bekalan dari plaza tersebut. Pada saya ini adalah manifestasi kekecewaan pengguna terhadap pihak berkuasa yang sepatutnya melindungi hak mereka.

Di  manakah kaunter KPDNKK? Jika Pak Menteri berfikir secara proaktif, sudah tentu plaza gajet setinggi 7 tingkat ini berpotensi untuk menjadi medan penipuan dan pemerasan pengguna. Letakkan segala kelengkapan untuk membantu pengguna mempertahankan hak mereka. Mentaliti menunggu laporan adalah mentaliti yang kuno dan ketinggalan zaman.

Keperluan terhadap gajet sekarang ini amat tinggi. Ada yang resah jika telefon pintar kehabisan bateri walaupun hanya untuk 30 minit. Adakah anda sanggup meninggalkan telefon anda untuk berbulan lamanya sebagai bahan bukti bagi menuntut hak sebagai pengguna? Ramai dalam kalangan kita yang tidak sanggup dan akhirnya terpaksa akur dengan penipuan tersebut. Maka inilah ruang di mana penipuan berpotensi untuk dilakukan.

Kita berharap kementerian terbabit mengambil tindakan yang sewajarnya. Melindungi hak pengguna adalah satu perjuangan satu tugas pemerintah. Terngiang-ngiang ditelinga kita kisah Saidina Umar yang mendengar perbualan antara ibu dan anak mengenai cadangan ibu untuk mencampurkan air dengan susu yang akan dijualnya. Begitu juga kesanggupan Sultan Alaudin Riayat Shah yang sanggup menyamar bagi menangkap pencuri di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bangunlah dari lena wahai Pak Menteri!

Disediakan Oleh Cikgu Amidi (Amidi Abd Manan). Penulis Adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)