International Youth Gathering 2015: Islam Rahmatan lil ‘Alamin Dapat Sambutan Meriah

February 4, 2015
editor-media

Hari Pertama Persidangan Belia Antarabangsa (IYG) 2015 menyaksikan dewan ‘Mewah Room’, Hotel Flamingo, Ampang dipenuhi dengan 500 orang peserta. Persidangan Antarabangsa bertemakan ‘Islam Rahmatan Lil ‘Alamin’ bersempena IYG ke-12 ini disertai oleh 300 orang awam, serta 200 peserta daripada 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dari 20 negara menghadiri persidangan itu.

Program yang bermula pada jam 9.00 pagi, 1hb Februari 2015 telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat ekonomi Negeri Selangor. Turut hadir, Saudara Fatih Cosar, Presiden Young Union Of NGOs Of Islamic World (Young UNIW), Saudara Haji Amidi Dato’ Abdul Manan, Presiden ABIM, dan Saudara Ali Kurt, Setiausaha Agung UNIW.

 

 

 

 

Saudara Fatih Cosar memberikan ucapan pembukaannya, sebelum diteruskan oleh Saudara Haji Amidi. Saudara Amidi menyuarakan harapannya kepada belia Islam yang bakal menjadi pemimpin masa depan umat. Beliau menegaskan bahawa IYG merupakan medan yang baik untuk memperbaiki diri mereka, seterusnya mempersiapkan diri untuk menjadi umat terbaik dalam keadaan dunia yang bergolak dewasa ini.

Saudara Ali Kurt dari UNIW pula mengingatkan berkenaan kepentingan perpaduan umat, dan proses pembangunan pemimpin muda yang berterusan diharapkan mampu dijana untuk peranan masa depan mereka selaku pemimpin. DSAI dalam ucaptamanya menggesa umat Islam untuk berfikir dengan lebih mendalam, memandangkan kita berhadapan dengan pelbagai pandangan melampau (ekstrem) daripada pelbagai kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Muslim’.

Sementelah, Presiden European Muslim Network, Prof. Dr. Tariq Ramadan berkata, istilah jihad diselewengkan ertinya oleh ramai penganut Islam di dunia ini, akibat kurang faham kita tentang konsepnya. Masyarakat Muslim tidak harus menyalahkan pihak lain kerana salah faham tentang Islam, sebaliknya mereka sendiri perlu mengamal dan mempamerkan nilai-nilai murni Islam.

Menegaskan demikian, Prof. Tariq Ramadan berkata sebagai contoh, masyarakat Islam di seluruh dunia perlu memahami dengan lebih jelas konsep jihad. Buktikan kepada dunia Islam bukan agama yang menggalakkan keganasan, kata beliau. Profesor Pengajian Islam Kontemporari Universiti Oxford itu berkata istilah jihad diselewengkan ertinya oleh ramai penganut Islam di dunia akibat kurang faham tentang konsepnya.

“Kita perlu jelas wujud dua masalah (dalam jihad). Pertama, ialah salah faham dari segi istilah agama, dan kedua, salah guna konsep berkenaan dari segi politik,” katanya dalam ceramah berjudul ‘The Quranic concept of jihad and how do we rise above its misinterpretations’ (Konsep jihad menurut Al-quran dan bagaimana mengatasi penyalahtafsirannya).

Prof. Dr. Tariq Ramadan banyak menekankan soal pemahaman teks dan konteks, juga mengenai budaya ‘double standard’ walaupun dalam kalangan umat Islam sendiri. Kemudian, beliau juga menyentuh sekali lagi berkenaan konsistensi dalam mengkritik kebobrokan, bukan mengkritik secara terpilih sahaja. Kita perlu konsisten dengan nilai yang kita kongsi bersama, kita perlu berani dan konsisten dalam menegakkan perkara yang hak. Jangan menjadi proksi, jangan menunggu seorang pemimpin untuk diikuti, bergerak dan bertindak untuk menyampaikan mesej ‘rahmatan lil ‘alamin’.

Beliau menegaskan betapa pentingnya untuk kita mengkritik dengan ilmu, idea dan rujukan tertentu. Keadilan dan kebenaran, menurut beliau, tidak akan tercapai sekiranya emosi menguasai rasional, menerusi sentimen dan stigma yang sarat dengan kebencian. Dr. Tariq Ramadhan memberikan suatu ucapan yang sangat menarik dan mendalam. Di dalam ucapan beliau, beliau menyentuh berkenaan konsep ‘karamah insaniah’ yang bersifat sarwajagat.

Kita sebagai satu bangsa yang menjadi ‘rahmatan lil ‘alamin’ perlulah pertamanya mengatakan kita adalah manusia, bukannya ‘kami Muslim dan kamu Kafir’. Apakah hak kita mengatakan sedemikian? Adakah kita mengetahui setakat mana kefahaman mereka kepada Islam sehinggakan kita membenci dan memusuhi mereka? Bagi beliau, Barat sekarang menumpukan konsep ‘I am innocent’. Mereka membenci agama atas sebab mereka melihat agama sebagai suatu autoriti yang menyalahkan.

Sepatutnya, kita sebagai penganut agama yang membawa konsep ‘rahmatan lil ‘alamin’ perlulah menyebarkan mesej bahawa setiap manusia tidak berdosa, tiada dosa warisan dan sebagainya: TUHAN adalah Maha pengampun. Beliau juga menyatakan bahawa semua manusia punya hak. Ya, anda semua punya hak, tetapi setiap hak mempunyai tanggungjawab masing-masing. Sebagai seorang Muslim perlulah kita menerima bahawa rasional akal dan kepercayaan hati adalah bersifat sarwajagat, segala yang fitrah yang dibawa Islam pasti boleh diterima akal dan terasa senang di hati.

Beliau menyentuh hadith nabawi berkenaan pembunuhan seorang manusia sama seperti membunuh kemanusiaan, seorang Muslim tidak boleh berat sebelah dalam menghukum. Apa yang dibuat orang Islam tidak semesti semuanya baik dan bukan semua orang bukan Islam buat tidak baik. Muslim perlu konsisten dalam mengeji kezaliman baik di mana jua ia dilakukan, oleh siapa ia dilakukan.

Khilafah sekarang telah dikecilkan kefahaman hanya kepada skop poli
tik sahaja, sedangkan khilafah itu adalah menyeluruh dan setiap muslim perlu menggerakkannya. Khilafah merangkumi bagaimana kita mengurus diri, masyarakat, negara dan alam, bukan hanya mengadakan sebuah kekuasaan sahaja. Kita adalah hadiah — hadiah TUHAN dalam mempromosi kebaikan dan mencegah kemungkaran, bukan memuaskan hati orang.

Jihad sosial perlu dilakukan baik dari sudut kebebasan, keadilan dan kesamarataan. Suatu idea perlu dilawan dengan idea, hujah dengan hujah, bukan dengan alasan bodoh sahaja. Beliau juga menyentuh berkenaan negara Islam yang tidak membawa imej Islam, ketidakadilan berlaku di negara Islam, malahan budaya kapitalis hidup di pusat kerohanian kita (Makkah dan Madinah). Banyak juga Muslim yang tidak melayani perempuan dengan seadilnya.

Prof. Tariq menyatakan lagi bahawa ‘Rahmatan’ juga bermaksud ‘jangan melupakan kemanusiaan, maruah, aspek spiritual dalam agama serta perlaksanaan yang baik.’ “Lafazkanlah Alhamdulillah, dan jadilah pemimpin yang berani. Berhentilah daripada sekadar mengimpikan kesatuan, sebaliknya berusahalah untuk menguruskan perubahan”, tegas Prof. Tariq lagi.

Saudara Felix Marquardt mengongsikan pengalamannya selaku pengasas Khlass Le Silence. Sesi beliau dipengerusikan oleh Setiausaha Agung ABIM, Saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz. Selanjutnya, Dr. Syed Muhammad Khairuddin AlJunied menyeru kepada semua agar berhenti bercakap tentang perkara-perkara kecil yang boleh memecah-belahkan kita.

Dan, mula berbicara tentang perkara-perkara yang boleh menyatu-padukan kita semua. Menurut beliau lagi, “Hadith ada menyatakan bahawa ilmu mesti datang dahulu, sebelum kita bercakap dan bertindak.” Sesi keempat persidangan menyaksikan Dr. Zulkifli Hasan, Exco ABIM dan Pensyarah Senior di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyampaikan pembentangannya. Saudara Fazril Saleh selaku Presiden PKPIM turut hadir juga sebagai moderator bagi sesi ini. “Kita memerlukan reformasi dalam agama Islam.

Kegagalan untuk mempelajari pengajaran dan tauladan, serta ketiadaan suasana persekitaran yang membolehkan kita merealisasikan proses pembelajaran dan pengajaran tersebut, merupakan dua ‘penyakit’ utama umat Islam”, menurut Dr Zul. Para delegasi dari 20 buah negara memulakan sesi seterusnya dalam perkampungan selama kurang lebih satu minggu dalam melengkapkan acara IYG kali ke-12 ini.

Selamat maju jaya buat semua yang terlibat sebagai peserta atau menganggotai panitia program. Smeoga terus berkerja keras menjayakan acara yang masih baru bermula ini. Moga usaha mereka memberi makna dan pengalaman yang signifikan untuk mereka manfaatkan dalam kehidupan. Kemudian, ‘Sesi Bersama Young UNIW dan Pembentangan Negara oleh Para Peserta Delegasi’ telah dijalankan.

Antara negara yang membuat pembentangan ialah: Indonesia, Turkistan, Bangladesh, Mesir, Sudan, dan Jerman. Sesi perbincangan berkenaan cabaran umat di Syria, Libya dan Palestin juga dijalankan. Dian Mahito yang mewakili Indonesia, menyampaikan tajuk berkenaan memahami konteks Indonesia tentang Islamophobia dan dakwah kreatif. Antara yang dibentangkan ialah berkenaan gerakan politik di Eropah yang berkempen menentang Islamisasi di rantau berkenaan. ‘Pegida’ merujuk kepada ‘Patriotische Europäer Gegen die Islamisierung des Abendlandes’ (Rakyat Eropah Patriotik menentang Islamisasi di Barat – Patriotic Europeans Against the Islamisation of the West).

Gerakan ini melakukan protes secara mingguan dan tersebar luas di Jerman. Sles Alfin, wakil Kemboja pula membincangkan berkenaan isu anak muda dalam konteks pendidikan dan ekonomi. Najibah Mahirah Awang, yang mewakili Malaysia, membentangkan tajuk ‘Peranan Golongan Muda dalam Masayarakat Berbilang Bangsa’. Alhamdulillah, program ‘Persidangan Antarabangsa: Islam Rahmatan Lil ‘Alamin’ sempena ‘International Youth Gathering – 12th 2015’ ini telah melabuhkan tirai dengan jayanya, pada jam 6.00 petang, 1hb Februari 2015. Semoga segala perkongsian ilmu dapat dimanfaatkan oleh para hadirin pada masa hadapan demi kegemilangan umat Islam sarwajagat, in sya ALLAH.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo