Islam Di Mata Rakyat Brazil

March 1, 2016
editor-media

Catatan saudari Puteri Anissatun Naadia binti Husin, Exco Kesihatan ABIM Mesir

Minggu kedua di Brazil, alhamdulillah telah berpindah ke rumah keluarga host yang baru. Sebuah keluarga Kristian (ramai bertanya mereka Islam atau tak) tetapi melayan diriku seperti anak sendiri. Segala keperluan sedaya-upaya dipenuhi. Ibu dan ayahnya tidak dapat berbahasa Inggeris maka kami hanya berkomunikasi menggunakan Google Translate (terima kasih Google Translate atas jasamu!) Tapi saya masih mencuba untuk mempelajari beberapa frasa dalam bahasa Portugis.

Di sini, walaupun saya bertudung (belum bertemu dengan orang lain yang bertudung di sini) penduduk tempatan tidak dapat mengaitkan bahawa orang yang bertudung itu seorang muslim. Selalunya di Asia mereka selalunya maklum orang yang bertudung itu sinonim dengan seorang Muslim. Jika mereka memandang dengan pandangan yang luar biasa bukanlah dipandang dengan stigma Islamophobia tetapi lebih kepada asingnya cara saya berpakaian dan bertudung.

Jika bertemu dengan kenalan baru, antara soalan yang gemar disoal ialah “What is your religion? (Apakah agama anda?) ” Selalunya saya akan menjawab,” l’m Muslim, any remarks? (Saya seorang Muslim, sebarang komen?). Apabila mereka tersenyum, selalu saya akan menyambung, “Apa pendapat awak tentang Islam? Anyway, I’m not a terrorist.” Kebanyakan mereka berkata, ” saya terbuka dengan hal ini, saya tahu bukan semua yang disensasikan di TV itu benar.”

Terima kasih Allah. Hilang sedikit kerisauan saya terhadap salah faham terhadap agama Islam. Tambahan sekarang sangat sensasi dengan isu ISIS dan sebagainya. Antara ingatan untuk diri saya, Allah berfirman dengan mafhumnya,

 

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah 60:8)”

Orang Brazil sangat baik, peramah, pembersih dan pengemas. Mereka setakat pandangan saya tidak suka membuang sampah merata-rata. Mereka akan membuang sampah mereka di tempat yang sepatutnya. Sampah dan sisa buangan dari rumah akan diikat elok di dalam plastik hitam dan dibuang di satu bekas di depan apartment/rumah yang dikhaskan supaya senang untuk majlis pembandaran mengutipnya kelak.

Persekitaran saya di institut penyelidikan di kelilingi dengan orang yang sangat tekun dan bersungguh-sungguh dalam penyelidikan mereka. Sangat menginspirasikan. Tabik! Walaupun ada masanya mereka relaks dan santai sepertinya kata orang “kerja kuat, rehat puas-puas”! Alhamdulillah thumma alhamdulillah ala kulli hal.

Pengembaraan ini sebenar tarbiyah yang saya rasakan. Apabila kita keluar dari zon selesa, berlainan budaya dan bahasa, sebaik-baik dakwah yang mampu ditunjukkan ialah dengan qudwah hasanah (contoh akhlak yang baik). Musafir ini juga salah satu proses pembelajaran dan menyantuni seruan Al-Quran supaya seorang muslim itu berjalan di atas bumi sambil berfikir hikmahnya ciptaan Ilahi. Semoga Allah redha.

*Penulis merupakan mahasiswi perubatan tahun 6, Universiti al-Azhar. Beliau telah terpilih mengikuti program pertukaran pelajar perubatan antarabangsa anjuran International Federation Medical Students Association (IFMSA) ke Brazil selama sebulan. ‪#‎25tahunABIMMesir‬

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR