Jerebu ;- Kesan-Kesan Dan Langkah Pencegahan - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Jerebu ;- Kesan-Kesan Dan Langkah Pencegahan

JEREBU – KESAN-KESAN DAN LANGKAH PENCEGAHAN

Oleh : Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin, Exco Biro Kesihatan ABIM

Saban tahun, jerebu melanda negara kita dan menyebabkan peningkatan masalah kesihatan. Tidak banyak yang boleh kita lakukan untuk mengawal kejadian ini secara tuntas.

Oleh hal yang demikian, saya kongsikan beberapa pengetahuan asas tentang jerebu yang perlu kita fahami dan seterusnya diamalkan sewaktu jerebu melanda negara kita.

Sekurang-kurangnya, dengan mengambil beberapa langkah pencegahan ini, dapat mengurangkann risiko ancaman kepada kita dan juga ahli keluarga kita.

A. Apakah itu Jerebu?

Jerebu adalah satu keadaan dimana partikel halus seperti debu, asap, gas pencemar dan habuk yang saiznya kurang dari 10 mikron terapung-terapung dan berkumpul di permukaan udara yang kering.

Seringkali aktiviti manusia yang tidak terkawal seperti pembakaran hutan secara terbuka dan pelepasan asap industri menyebabkan pencemaran udara ini terjadi.

Bagi mengukur tanda aras kualiti udara khususnya sewaktu jerebu, Indeks Pencemaran Udara (IPU) diperkenalkan. Sebagai contoh, jika IPU melebihi 200, ini menunjukkan kadar udara yang sangat tidak sihat dan boleh menyebabkan ancaman pernafasan.

B. Siapakah Yang Terdedah Kepada Risiko?

Jerebu boleh memberi kesan kepada semua orang yang terdedah kepada udara. Walaupun begitu, golongan ini boleh menerima risiko ancaman pernafasan berbanding yang lain.

1. Kanak-kanak

2. Orang Tua

3. Mengalami masalah paru-paru seperti asthma, radang paru-paru dan penyakit paru-paru kronik

4. Masalah jantung

5. Perokok

6. Pekerja luar yang sentiasa terdedah kepada udara

C. Apakah Kesan-Kesan Jerebu kepada Manusia ?

Di antara tanda dan gejala jerebu kepada kesihatan kita ialah :-

1. Terasa gatal dan sakit pada kerongkong

2. Batuk-batuk

3. Terkena serangan asthma dan kesukaran bernafas

4. Mata terasa pedih, mejadi merah dan berair

5. Hidung gatal, berair dan kerap bersin

6. Kulit terasa gatal dan mudah alahan

D. Berikut adalah langkah pencegahan dan perawatan yang boleh diamalkan bagi mengurangkan permasalahan jerebu dan kesannya.

1. Kurangkann aktiviti di luar rumah dan cuba sehabis baik berada di dalam bangunan

2. Minum banyak air sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari

3. Kerap membasuh tangan, muka dan kawasan-kawasan yang terdedah dengan udara

4. Jika menggunakan kenderaan berhawa dingin, sentiasa hidupkan alat penghawa dingin dan tutup tingkap kenderaan

5. Sebaik-baiknya memakai topeng muka 3 lapis (3 ply)

6. Berhenti menghisap rokok

7. Pergi ke hospital dengan segera sekiranya mengalami gejala-gejala yang tidak diingini.