Jika Dunia Tanpa Muhammad…

November 3, 2021
editor@abim

Maulidur Rasul bukan sebarang kelahiran insani,
Pembawa rahmat fungsinya, tepat sekali Muhammad namanya!

Tanpanya tiada uswah hasanah untuk diteladani,
Tanpanya pasti dunia manusiawi diselubungi kegelapan jahiliah yang tiada kesudahannya!

Prof. Datuk Dr. Osman Bakar,
19 Oktober 2021 / 1443H

Bersempena dengan Maulid Nabawi ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam baru-baru ini. kita mengenang rahmahnya Baginda ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam kepada kita, yang menambahkan kecintaan kita kepada Baginda ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam.

Cuba kita renungkan sifat cinta Rasullulah s.a.w ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam kepada umatnya. Rasulullah s.a.w. ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala sebagai seorang insan yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya.

Orang yang mencintai Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam akan mendapat kesempurnaan iman. Hal itu berdasarkan sabda Nabi ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam dalam Riwayat Muslim: “Seseorang tidaklah beriman (dengan sempurna) sehingga saya lebih dicintainya berbanding anak dan ibu bapanya serta manusia lain keseluruhannya.”

Sebagai seorang Muslim, wajib kita mencintai Nabi Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam melebihi diri kita dan manusia lain sama ada ibu bapa, isteri, suami, anak, kaum kerabat dan kawan. Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman dalam Surah al-Ahzab, ayat 6 yang bermaksud: “Nabi itu hendaklah lebih utama bagi orang beriman melebihi diri mereka sendiri.”

Untuk membuktikan kecintaan kepada Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam, kita hendaklah mengikut ajarannya dan beramal dengan sunnahnya. Jika tidak mampu lakukan semua, cuba amalkan sunnah yang mudah seperti membaca bismillah sebelum makan, berdoa ketika bangun tidur dan sebagainya.

Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 31 bermaksud: “Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.”

Begitu juga hendaklah beradab dengan cara memuji dan berselawat ke atas Baginda sebagaimana perintah Allah Subhanahu wa-Ta’ala yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi, wahai orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkan salam kepadanya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Umat yang kasih pada Nabinya akan sentiasa taat kepada arahan Allah dan rasul-Nya serta sentiasa menjauhi larangan. Seterusnya, jangan lupa sebarkan ajaran Baginda sepertimana sabdanya yang bermaksud: “Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat.” (Riwayat al-Bukhari).


Dapatkan buku-buku terbitan ABIM Press di sini: https://linktr.ee/abimpressmy dan/atau di Shopee ABIM Press: https://shopee.com.my/abim_press

#ABIMPress#ABIMdiHatiku#GerakanIlmuDanBakti

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo