
KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
Tarikh: 12 Julai 2025 / 6 Muharram 1447H
JULAI BERDARAH: 30 TAHUN SELEPAS SREBRENICA, GAZA PULA MENJADI MANGSA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan rasa dukacita dan kebimbangan mendalam terhadap pengulangan episod genosid kemanusiaan yang kini sedang berlaku di Gaza — tepat 30 tahun selepas tragedi berdarah di Srebrenica pada Julai 1995.

Tragedi Srebrenica yang mengorbankan lebih 8,000 lelaki dan remaja Muslim Bosnia telah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa sebagai genosid paling dahsyat di Eropah pasca Perang Dunia Kedua. Namun, hari ini, dunia sekali lagi menyaksikan pembunuhan sistematik, pembersihan etnik dan penindasan terang-terangan terhadap rakyat Palestin di Gaza oleh rejim Zionis Israel.
Fakta sejarah mencatatkan bahawa rejim Israel pernah menyalurkan bantuan persenjataan kepada rejim Serbia semasa konflik Bosnia pada awal 1990-an meskipun mangsa yang dibunuh adalah umat Islam tidak bersenjata.

Kini, tiga dekad kemudian, Israel bukan sahaja menjadi pembekal, tetapi pelaku langsung kepada jenayah kemanusiaan melalui serangan udara ke atas kawasan awam, hospital, dan sekolah. Rejim turut menyekat bantuan kemanusiaan termasuk bekalan makanan dan ubat-ubatan termasuk melaksanakan perpindahan secara paksa serta pemusnahan sistem sokongan kehidupan yang jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
ABIM menegaskan bahawa resolusi dan solidariti bersifat simbolik semata-mata tidak lagi mencukupi. Masyarakat antarabangsa mesti mengambil langkah konkrit dan berani:
1. Mengenakan tekanan diplomatik dan ekonomi ke atas rejim Zionis agar menghentikan segera tindakan ketenteraan.
2. Membawa pelaku ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan menyokong siasatan jenayah perang oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
3. Menamatkan budaya impuniti yang membolehkan Israel terus melanggar undang-undang tanpa sebarang pertanggungjawaban.
4. Menggerakkan bantuan kemanusiaan secara kolektif dan menyeluruh, khususnya dalam aspek makanan, kesihatan, dan pemulihan trauma.
ABIM menggesa Kerajaan Madani Malaysia, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), serta blok serantau seperti ASEAN — yang kini aktif bersidang agar dapat mepergiat diplomasi kemanusiaan dan tekanan politik kolektif terhadap rejim Zionis. Penzahiran solidariti kini bukan sekadar melalui kenyataan, tetapi menerusi tindakan yang nyata, terkoordinasi, dan konsisten termasuk mendepani hipokrasi kuasa besar yang terus melindungi penjajahan dan penindasan atas nama keselamatan dan geopolitik.

Sesungguhnya kita tidak berhak memperingati Srebrenica jika kita membisu terhadap Gaza. Tragedi yang sedang berlaku di Gaza membuktikan bahawa dunia masih belum belajar daripada sejarah. Jika kekejaman terus berlaku tanpa sebarang tindakan bermakna, maka kita sedang menyaksikan kegagalan kolektif yang lebih parah daripada masa lampau.
ABIM menyeru seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia untuk bangkit bersuara, bertindak, dan menuntut keadilan — demi Palestin, dan demi masa depan kemanusiaan.
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
