
Paulo Freire dalam karya beliau- ‘Pedagogy of The Oppressed’- menyatakan kejahilan dan kemalasan adalah hasil dari keadaan dominasi ekonomi, sosial dan politik serta perlindungan yang menjadikan mereka mangsa.
Mereka tidak digalak dan dilengkapi untuk membolehkan mereka mengetahui dan bertindak terhadap realiti-realiti dunia yang konkrit dan mereka menjadi ‘terbenam’ dalam suatu keadaan yang menyebabkan kesedaran kritikal dan tidak balas mustahil untuk diwujudkan. Frerie adalah pejuang kebebasan rakyat Sao Paulo di Brazil yang lama tertindas.
Beliau berjaya memberi perasaan gerun kepada pemerintah yang menindas rakyat dengan menggerakkan agenda pembebasan melalui perlaksanaan beberapa strategi iaitu; tindakan untuk mengubah budaya (cultural action for freedom) dan pendidikan pembebasan (education for freedom).
Masyarakat Sao Paulo yang beliau menggelarkannya sebagai ‘submerged’ iaitu masyarakat yang terbenam- kerana tidak mengetahui, tidak peka kepada realiti sebenar kezaliman yang membelenggu mereka sehingga satu tahap membiarkan sahaja kezaliman dilakukan ke atas mereka berjaya disedarkan dan membentuk gelombang kesedaran rakyat yang membimbangkan sang penguasa melalui dua pendekatan perjuangan Frerie.
Walaupun akhirnya beliau dipenjarakan dan dibuang dari Brazil, tapi usaha beliau menjadi inspirasi kepada ramai pejuang kebebasan rakyat. Pengkisahan di atas mungkin cocok sebagai inspirasi menjelang kemerdekaan negara yang ditarikhkan pada 31 Ogos 1957.
Di Malaysia, agenda perjuangan kebebasan mengeluarkan rakyat dari zon kegelapan sebagai golongan tertindas sosial, ekonomi dan politik, penjajah dan penguasa zalim pernah disuarakan dengan aktif tokoh-tokoh negarawan silam seperti Pendita Zaaba dan Dr. Burhanuddin al-Hilmi. Malah, Tun Dr Mahathir Mohammad tidak terkecuali seperti melancarkan program seperti ‘Revolusi Mental’ pada tahun 1960-an dan ‘Gerakan Melayu Baru’ pada tahun 1980-an yang akhirnya menyepi.
Tidak dikesampingkan usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim yang nasibnya boleh disamakan seperti Frerie dalam membangkitkan gelombang kesedaran rakyat tertindas sehingga terpenjara.
Menjelang 58 tahun mengecap kemerdekaan, adakah kita benar-benar merdeka? Tema merdeka-‘sehati sejiwa’ yang dilancarkan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini adakah membawa kepada makna ‘kemerdekaan’ sebenar yang rakyat harapkan?
Rakyat masih lagi terbelenggu dalam jiwa terjajah sehingga hilang jati diri. Tidak dinafikan kemerdekaan tanah air dari penjajahan itu penting, tetapi yang paling mustahak adalah merdeka minda dan jiwa. Untuk itu, pemimpin diharapkan mengeluarkan rakyatnya dari minda dan jiwa tertawan yang boleh merosakkan negara yang merdeka.
Edward Said menyatakan ‘pembentukan jiwa-jiwa baru’ selepas kemerdekaan, manakala Malik Benabi pula menyebut dengan tegas tentang pembebasan minda selepas pembebasan tanah air. ( Ahmad Mohamad Said. 2009. Lintasan Sejarah Bangsa: Jati Diri dan Psikik Melayu)
Selamat menyambut kemerdekaan negara buat semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan pangkat. Marilah ‘sehati sejiwa’ untuk menjadikan masa depan Malaysia lebih sejahtera. – 26 Ogos, 2015. * Penulis adalah aktivis HELWA ABIM pensyarah Jabatan Pengajian Umum, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Sumber: The Malaysian Insider
