MENGUNDI DENGAN BERFIKIR MASA DEPAN SABAH LIMA TAHUN AKAN DATANG DAN BERKEMPEN DENGAN BERHIKMAH

YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 September 2025, sekaligus menandakan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-17 akan diadakan dalam tempoh enam puluh hari selepas pembubaran. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh mengundi pada 29 November 2025 bagi rakyat Sabah melaksanakan tanggungjawab memilih.
ABIM Sabah berpandangan bahawa rakyat Sabah perlu melihat jauh ke hadapan dengan memastikan kestabilan, keharmonian dan kemakmuran bersama dapat dikecapi untuk menentukan pihak yang layak memerintah Negeri Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang. Hal ini dapat dinilai melalui komitmen, prestasi dan pencapaian yang telah ditunjukkan sepanjang lima tahun lepas, serta perancangan yang akan dibawa pada lima tahun seterusnya.
ABIM Sabah menyeru rakyat Sabah mengambil ibrah dengan memilih kepimpinan berteraskan prinsip ‘Qawiyul Amin, Hafizun Alim’, iaitu pemimpin yang mempunyai kekuatan jiwa, mental, keupayaan dan keberanian untuk menegakkan kebenaran serta keadilan; jujur, amanah, tidak mengkhianati, menunaikan tanggungjawab dengan penuh integriti, serta memiliki kekuatan ilmu dan hikmah.
Dengan mengambil kira semua faktor, adalah wajar rakyat Sabah mengundi secara berhikmah, memilih pemimpin yang benar-benar layak menggalas amanah sebagai Yang Berkhidmat (YB), dengan penuh kredibiliti dan integriti.
Sehubungan itu, ABIM Sabah menggesa perkara berikut dalam memilih calon, membuang undi, serta berkempen demi masa depan yang lebih baik untuk Negeri Sabah dan penambahbaikan PRU ke-17:
1. Memilih calon yang mempunyai ciri ‘Qawiyul Amin, Hafizun Alim’, iaitu pemimpin berilmu, beradab, berintegriti dan berkredibiliti, dengan segala kekuatan untuk menggalas amanah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mampu membawa suara rakyat.
2. Berkempen secara berhikmah tanpa menimbulkan fitnah dan propaganda; sebaliknya membawa mesej serta visi dan misi yang jelas untuk kesejahteraan rakyat Sabah.
3. Mengambil semangat kenegaraan dengan tidak mengabaikan Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara dalam berkempen serta membentuk kepimpinan negeri yang baharu. Perlu diingat bahawa Sabah dan Sarawak bergabung dengan Tanah Melayu membentuk Malaysia, selaras dengan cogan kata Jata Negara, “Bersekutu Bertambah Mutu”.
4. Tidak memainkan isu agama, perkauman dan sikap rasis untuk meraih undi; sebaliknya memahami bahawa kekuatan Sabah berasaskan kepelbagaian agama, bangsa dan kaum. Hal ini selaras dengan konsep Fiqh Ta‘ayush, iaitu kefahaman mendalam tentang kesepakatan dan kebersamaan dalam membina negeri yang aman, makmur dan harmoni.
Mohd Zikri Zainudin
Yang Dipertua
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah
