Konflik Syria: Malaysia Perlu Bentang Usul Gencatan Senjata - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Konflik Syria: Malaysia Perlu Bentang Usul Gencatan Senjata

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) — Gabungan Selamatkan Syria (GSS) hari ini meminta kerajaan membentangkan usul khas di Parlimen berhubung genjatan senjata di Syria, yang sedang mengalami tragedi kemanusiaan akibat perang saudara.

Jurucakap GSS, Syahrir Azfar Saleh berkata kerajaan perlu menggunakan posisi Malaysia selaku anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menangani tragedi kemanusiaan di negara berkenaan.

“Kita sedia maklum bahawa keadaan di Syria sangat menyedihkan, dengan puluhan ribu kediaman penduduknya musnah dan pembunuhan kejam beramai-ramai ke atas penduduk Syria termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Bagi terus membantu rakyat Syria membebaskan mereka daripada kekejaman itu, Malaysia perlu mengusulkan genjatan senjata di Syria di dalam PBB,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Syahrir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) berkata GSS akan menghantar memorandum berkenaan usul tersebut kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan pada 4 April ini. GSS dianggotai 10 badan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu I4Syria, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Syria Care Malaysia (SC), Green Project, Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MaSSSa), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Palestine Reconstruction Team (PRT), Munsyid Malaysia dan MLLFS.

Syahrir berkata menurut laporan yang dikeluarkan oleh Syrian Centre for Policy Research (SCPR), populasi Syria kini berkurangan daripada 20.87 juta orang pada tahun 2010 kepada 17.65 juta pada akhir tahun 2014.

“Hampir separuh daripada populasi tersebut telah meninggalkan rumah mereka dan ada dalam kalangan mereka kini menjadi pelarian di dalam negara sendiri dan pelarian di negara-negara jiran. Katanya, masyarakat Malaysia juga harus terus menyokong usaha-usaha bantuan kemanusiaan yang dilakukan oleh setiap badan NGO dalam GSS. — BERNAMA