Lawatan Obama Ke Malaysia:- ABIM Gesa Malaysia Suara Pendirian Tegas Dalam Isu TPPA & Palestine - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Lawatan Obama Ke Malaysia:- ABIM Gesa Malaysia Suara Pendirian Tegas Dalam Isu TPPA & Palestine

Angkatan Belia Islam Malaysia merujuk kepada lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barrack H Obama ke negara ini mulai 20 November 2015. ABIM menilai lawatan beliau ke negara ini strategik dari segi diplomasinya tatkala Malaysia masih berperanan sebagai Pengerusi ASEAN dan di tengah kehangatan isu Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA).

ABIM melalui penglibatannya dalam gabungan NGO Bantah TPPA menilai wujud ketempangan dan ketidakadilan yang nyata dalam isi kandungan TPPA yang perlu disuarakan oleh kerajaan kepada Presiden Obama. Semenjak isi kandungan draf perjanjian TPPA ini disiarkan secara umum, pelbagai maklumbalas bernadakan kebimbangan terhadap implikasi perjanjian TPPA ini telah disuarakan oleh rakyat dalam pelbagai kapasiti, sektor, serta bidang yang berbeza.

Ternyata kebimbangan ini terbukti benar. Malaysia adalah sebuah negara yang merdeka serta berdaulat. Malaysia seharusnya berdiri sama tinggi serta duduk sama rendah dengan negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat. Malaysia tidak seharusnya rasa rendah diri dalam mengambil pendirian terutama sekali dalam isu TPPA dan isu-isu antarabangsa yang menyentuh kepentingan umat Islam di persada global.

Atas dasar ini, pihak ABIM menuntut agar YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak dan kerajaan Malaysia agar tidak menandatangani TPPA, demi kesejahteraan negara dan generasi akan datang. Untuk makluman; ABIM telah menfailkan semakan kehakiman berhubung dengan TPPA dan kes ini akan diperdengarkan di Mahkamah Jalan Duta, pada 19 November 2015, jam 9 pagi.

Pada masa yang sama, ABIM sebagai badan gabungan Save Al Quds International Campaign turut menggesa agar YAB Perdana Menteri amenyuarakan secara tegas pendirian umat Islam agar Amerika Syarikat menghentikan samasekali sokongan dan bantuan politik, ekonomi dan ketenteraan kepada sekutu rapatnya Israel yang kini agresif menceroboh Masjid al Aqsa.

Gesaan ini adalah lambang solidariti negara serta rakyat dan rantau ASEAN (selaku pengerusi ASEAN) terhadap perjuangan rakyat Palestin yang ditindas negara β€œharam” Zionis- Israel.

Mohamad Raimi Ab.Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)