




Tahukah anda, Mandi Safar (juga disebut ‘Mandi Sapar’ atau ‘Puja Pantai’) adalah perayaan yang diamalkan oleh umat Melayu-Islam pada zaman dahulu, khususnya di Melaka, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak. Ia berlaku pada hari Rabu terakhir bulan Safar, iaitu bulan kedua dalam kalendar Islam. Terdapat masyarakat pada ketika itu yang percaya Safar merupakan bulan yang membawa sial. Oleh itu, mereke pergi ke pantai untuk menolak bala.
Orang ramai akan berkumpul di pantai dan berenang di laut sebagai sebahagian daripada upacara, atau mereka akan minum air yang rendaman kertas atau papan kecil dengan tulisan suci dari Al-Quran. Air ini juga yang dikenali sebagai ‘Air Safar’. ‘Doa tolak bala’ juga akan ditulis di atas kertas lalu dihanyut ke laut.
Pada hari Mandi Safar tersebut, orang Melayu ketika itu beramai-ramai turun ke pantai untuk mandi. Kerbau juga akan disembelih untuk ‘dijamu’ kepada ‘roh laut’ agar jangan mengganggu mereka mencari rezeki di laut. Adat ini diceritakan dalam Buku Teks Tata Rakyat utk diajar di sekolah pada zaman itu.
Antara lokasi yang terkenal sebagai lokasi diadakan adat Mandi Safar adalah Tanjung Kling, Melaka seperti dilaporkan Berita Harian pada 17hb Julai 1962. Ia dikatakan telah berlangsung sejak ratusan tahun yang lepas.
Dikatakan bahawa Tanjung Kling dijadikan tempat Mandi Safar kerana di sanalah dimakamkan Bendahara Seri Maharaja Melaka yang dibunuh oleh Sultan Mahmud Shah yang memerintah Negeri Melaka ketika itu (1510).




Fatwa serta Langkah Pengharaman Mandi Safar
Pada 9hb Julai 1963, Berita Harian melaporkan Timbalan Mufti Johor, Dato’ Dr. Abd. Jalil Hassan menyatakan yang upacara-upacara tu adalah ‘bidaah dan tak masuk akal’. Mufti Singapura turut mengeluarkan fatwa bahawa Mandi Safar adalah haram kerana berunsur syirik.
Namun, ritual ini masih lagi diamalkan oleh umat Islam sehinggalah pada era 1980an. Sewaktu menjadi Menteri Pendidikan, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah menjalankan usaha menyelamatkan akidah umat Islam dengan menghapuskan tajuk ‘Mandi Safar’ dalam buku teks Tata Rakyat sekolah rendah. Beliau menulis surat pekeliling agar tajuk Mandi Safar tidak lagi diajar di sekolah-sekolah.
Selain terlibat dalam memperkasakan sistem perbankan Islam serta penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), DSAI turut terlibat secara langsung dalam pemakaian menutup aurat di sekolah-sekolah arus perdana pada era 90an. Aspek Nilai Murni turut ditekankan dalam setiap subjek.
Hal ini adalah konsisten dengan kelangsungan daripada perjuangan DSAI sewaktu memimpin PKPIM dan ABIM bersama sahabat beliau pada era 60an hingga 80an antaranya seperti: Almarhum Datuk Ustaz Hj. Fadzil Noor, Almarhum Prof. Dato’ Dr. Ustaz Siddiq Fadzil, Almarhum Syeikh Ni’amat Yusoff, Prof. Dato’ Dr. Osman Bakar, Ustaz Dr. Razali Nawawi, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty dan ramai lagi.
Baca lagi di sini: https://www.abim.org.my/mengenang-ustaz-fadzil-noor-tokoh-wasatiah-gerakan-islam/





Islam Agama Tauhid
Daripada Abu Hurairah radiyAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah ṣallallāhu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Tidak ada penyakit yang berjangkit, tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan Safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.” Riwayat al-Bukhari (no. 5770), Muslim (no. 2220), Abu Daud (no. 3913) di dalam al-Sunan dan Ahmad (no. 3031) di dalam Musnad.
Sesungguhnya, telah jelas di sini bahawa perbuatan atau amalan mandi pada bulan Safar itu tiada dalam suruhan Islam dan sebagai umat Islam, wajiblah menjauhi daripada perkara-perkara yang khurafat yang boleh mendatangkan dosa. Mandi Safar ini adalah bid’ah yang tidak perlu diamalkan
Para pendakwah perlu menjadi agen pencerahan umat. Dalam isu Mandi Safar, walaupun zahirnya Fiqh, tapi berkait dengan Akidah. yang Fiqhnya pun bermasalah (sebab bid’ah), yang Akidahnya pun bermasalah (sebab syirik iaitu percaya bulan-bulan tertentu membawa sial, sama seperti astrologi zodiak dan sebagainya). Jadi, berkumpul dua kejahatan pada kepercayaan Mandi Safar ini.
Tidak ada manfaat menghidupkan semula amalan khurafat yang telah dibasmi ulama’-ulama’ terdahulu. Bahayanya isu Mandi Safar ini, terutamanya sebab ada kaitan dengan Akidah. Ingatlah, Islam ini agama bukan agama bomoh-bomoh, sebaliknya Islam adalah agama Tauhid.
Tidak perlu menegakkan benang yang basah, tidak boleh hujjah nenek moyang dijadikan pertaruhan membenarkan ritual tersebut Mandi biasa, tak mengapa. Isunya itu, ‘mandi buang sial’. Bulan tidak mendatangkan nasib malang atau sial. Allah Subhanahu wa-Ta’ala adalah penentu segala takdir, baik ataupun buruk.



Khatimah
Justeru, kami mengesyorkan agar amalkanlah doa setiap kali mahu dijauhkan atau ketika mengalami musibah. Daripada Anas bin Malik radiyAllahu ‘anhu berkata: Adapun Rasulullah berdoa: ‘(Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk)’.” [Riwayat Abu Daud (no. 1554)]
Tambahan pula, daripada Anas bin Malik berkata: “Rasulullah ṣallallāhu ‘alayhi wa sallam, apabila menghadapi suatu masalah, beliau berdoa, ‘Wahai Yang Maha Hidup Kekal, Yang terus menerus mengurus (makhluk-Nya), hanya dengan rahmat-Mu saja, saya meminta pertolongan’.” [Hadith Riwayat at-Tirmidzi (no. 3524)].
Dalam Hadith Riwayat Uthman bin Affan, dinyatakan bahawa Nabi ṣallallāhu ‘alayhi wa sallam bersabda:“Sesiapa yang membaca: “(Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh. Dan barangsiapa yang membacanya ketika Subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” [Riwayat Abu Daud (no. 5088)] [Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’uth Hadis ini adalah hasan].
Moga Allah Subhanahu wa-Ta’ala melindungi kita semua dari penyakit yang berbahaya dan musibah dengan izin-Nya; dan kemustajaban doa yang diajar oleh Rasulullah ṣallallāhu ‘alayhi wa sallam jua. Amiin.
#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti
Sumber:
