Martabatkan Gagasan Bangsa Malaysia: ABIM - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Martabatkan Gagasan Bangsa Malaysia: ABIM

13 September 2014:- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan(KBS) Negeri Sabah, Jabatan Belia Dan Sukan (JBS) Negeri Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna (KPMHEP) Negeri Sabah, Pusat Latihan RELA Negeri Sabah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), dan Majlis Belia Sabah (MBS) telah menganjurkan Simposium Hari Malaysia 2014 bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sabah.

Simposium ini mengangkat tema ”Pembinaan Bangsa Malaysia: Memahami Realiti Kepelbagaian, Mencorakkan Khittah Masa Depan”, dianjurkan bagi mengukuhkan jatidiri Bangsa Malaysia sebagai manifestasi kesyukuran terhadap ulang tahun penubuhan Malaysia ke-53. Menginsafi bahawa kepelbagaian latar yang dikurniakan ke atas negara yang tercinta ini, maka Simposium Hari Malaysia 2014 menegaskan bahawa:

  1. Mengangkat bangsa Malaysia sebagai suatu matlamat utama kepada pembangunan negara.                       
  2. Gagasan Negara dan bangsa Malaysia tidak akan terbina tanpa penggabungan geografi serta politik yang disempurnakan dengan rasa saling hormat-menghormati dan menyantuni kepelbagaian latar budaya yang berbeza antara satu sama lain.                                                                                                                           
  3. Segala bentuk provokasi melampau berasaskan sentimen perkauman seharusnya dileburkan sama sekali.
  4. Pembinaan bangsa Malaysia berdasarkan kepada formula keadilan sosial yang berasaskan kepada “Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan”.

Maka simposium ini mencadangkan :

1) Mengarusperdanakan kefahaman masyarakat terhadap identiti bangsa Malaysia sebagai satu jatidiri.

2) Menegaskan kembali aspirasi bangsa Malaysia dalam Wawasan 2020 yang telah digubal sebagai usaha memartabatkan bangsa Malaysia.

3) Semua peringkat masyarakat bertanggungjawab mengangkat identiti bangsa Malaysia tanpa rasa takut kerana ia tidak mencairkan jatidiri dan keturunan masing-masing.

4) Menyemarakkan kefahaman tentang identiti bangsa Malaysia melalui program dan wacana kependidikan seluruh nagara.

5) Sektor kerajaan, swasta dan media hendaklah bekerjasama untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu di samping menghapuskan sebarang penghalang yang boleh merencatkan agenda pembinaan bangsa Malaysia.

 

Bagi Pihak Penganjur Simposium Hari Malaysia 2014,

Salim Jaaparan (Pengarah) Dewan Amil Jaya,

Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Negeri Sabah

13 September 2014