Mencari Tadika Islam untuk anak-anak? Ini senarai TASKI ABIM di seluruh Malaysia - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Mencari Tadika Islam untuk anak-anak? Ini senarai TASKI ABIM di seluruh Malaysia

Mesti ramai ibu ayah di luar sana yang sedang mencari tadika untuk anak-anak kan?

Berpandukan Falsafah Pendidikan Al-Hikmah, TASKI menuju ke arah pendidikan anak soleh.

TASKI ialah akronim kepada Taman Asuhan Kanak Kanak Islam ABIM.

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti

Tadika/Taman Asuhan Kanak-kanak Islam ABIM (TASKI) terbina daripada keringat petugas dan aktivis ABIM sejak tahun 1970an lagi. Tanpa menghampakan keperluan intitusi pendidikan awal kanak-kanak yang Islamik, ABIM mencorak langkah menyediakan TASKI sebagai pilihan umat, sebagai alternatif dalam sistem pendidikan prasekolah yang ada.

Banyak ranjau, onak berduri dan cabaran bagi merealisasikan keberadaan TASKI di tengah-tengah masyarakat yang dahagakan pendidikan Islam. TASKI bangkit dengan dokongan umat dan rakyat dari Perlis sampailah ke Sabah dan Sarawak.

Inisiatif TASKI ABIM kali pertama disebut dan dijelmakan dalam memorandum ABIM kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 1974 atas kebimbangan masyarakat Muslim tentang kebanjiran tadika asing yang beroperasi di sekolah misionari Kristian dan di gereja.

ABIM terus memberikan solusi kepada umat Islam di Malaysia dengan memulakan model tadika Islam secara rintis pada 1975, dan seterusnya dikembangkan pada 1979 ke seluruh negara dengan jenama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam ABIM (TASKI).

Berdasarkan memorandum pelajaran 1974 yang diserahkan ABIM kepada KPM, ABIM berasa bertanggungjawab untuk memberikan alternatif kepada pendidikan prasekolah yang sedia ada di Malaysia. Selain institusi prasekolah yang digerakkan oleh misionari kristian dan berorientasikan inggeris, kerajaan ada mengelolakan institusi yang dinamakan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) KEMAS pada 1970.

Namun, tiada institusi pendidikan prasekolah yang bernuansakan pendidikan Islam dan bersepadu sehinggalah ABIM memulakannya pada 1975.

Maka, pada 1975, ABIM telah memulakan inisiatif tadika Islam secara rintis di Melaka, Selangor dan Pulau Pinang sebelum diperluaskan di seluruh negara secara rasmi pada 1979. Ustaz Ni’amat Yusuf, pengasas dan pencetus idea penubuhan TASKI ketika itu berpendapat, “Saya yakin pendidikan sekular tidak akan sampai ke mana dan tidak dapat menyelesaikan masalah ummah”.

Sesungguhnya, kesedaran untuk menubuhkan institusi pendidikan prasekolah berteraskan Islam timbul sejak awal penubuhan ABIM lagi, iaitu pada 1971.

Justeru, lebih tepat jika dikatakan bahawa asas kewujudan ABIM sendiri adalah untuk terus mengadvokasikan cara hidup Islami dalam masyarakat melalui pelbagai sektor kehidupan, termasuk sektor pendidikan.

Maka, merealisasikan model institusi pendidikan alternatif berwajah Islamik merupakan asas tanggungjawab kewujudan ABIM sendiri. Bagi ABIM, bercakap soal pendidikan merupakan ‘our deepest conviction’ dalam melakukan perubahan pembaikan dalam masyarakat.

Penubuhan TASKI ABIM bermula sejak tahun 1975. Laporan Muktamar kelima ABIM menyatakan pentingnya penubuhan kelas-kelas Tadika bercorak Islam. Selepas itu beberapa seminar, bengkel dan diskusi diadakan untuk membincangkan penubuhan TASKI sehinggalah ia menjadi realiti.

Memorandum Pelajaran 1974 yang dikemukakan oleh ABIM kepada Kementerian Pelajaran antara lain memohon pihak kementerian supaya mengawasi perjalanan tadika-tadika yang dianjurkan oleh badan-badan atau pertubuhan-pertubuhan asing negara ini, untuk mengelakkan kanak-kanak Malaysia terpengaruh dengan kefahaman dan kebudayaan asing.

Pihak kementerian perlu menyelaras sukatan pelajaran yang diberikan kepada tadika di seluruh negara, bagi menjamin perkembangan sihat tadika-tadika berkenaan, selaras dengan matlamat pendidikan negara (25 Tahun ABIM, 1996).

Kebimbangan ini berasas terutama dari masyarakat Cina dan India yang tinggal di bandar manakala ibubapa tidak berniat menghantar anak mereka ke kelas prasekolah dikelolakan oleh pihak Kristian (kindergarten). Dengan perkembangan ini timbul kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam tentang perlunya pendidikan Islam kepada kanak-kanak terutama ibu bapa yang bekerja.

Kesan daripada meningkatnya kesedaran mengenai kepentingan pendidikan Islam kepada kanak-kanak, ABIM negeri Kedah mengambil inisiatif menganjurkan Taman Asuhan Kanak-kanak Islam ABIM (TASKI), yang mula diperkenalkan di beberapa kawasan di Kedah pada tahun 1975, mengikut kurikulum percubaan yang berasaskan falsafah pendidikan Islam.

Idea ini dicetuskan oleh Ustaz Ni’amat Yusoff (Almarhum), Yang Dipertua ABIM Negeri Kedah Pertama pada tahun 1972 -1977 dan tahun 1979-1982. Beliau telah meminta Ustaz Ghazali Abdullah untuk merangka silibus bagi TASKI.

Pendidikan prasekolah merupakan peringkat yang paling sesuai untuk menanam nilai-nilai murni Islam secara formal, kanak-kanak memerlukan rangsangan dan bimbingan untuk melengkapkan diri sebagai anggota masyarakat yang Islami (Mahyuddin, 2004:11).

Syeikh Ni’amat Yusoff juga terlibat dalam merangka kurikulum pendidikan Islam, iaitu untuk menggabungjalinkan antara pengajian Islam, ilmu Sains dan Tahfiz Al-Quran. Hasil dari perancangan inilah lahirnya Darul Quran di Kuala Kubu Baru, Selangor Darul Ehsan.

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti