
KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
“Mengutamakan Adab, Menghormati Fakta, dan Menegakkan Keadilan dalam Isu Tragedi Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir”
12 Ogos 2025 | 17 Safar 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan rasa simpati dan dukacita yang mendalam atas tragedi yang menimpa pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir. ABIM turut menzahirkan doa agar seluruh keluarga diberi kekuatan menghadapi ujian ini. Tragedi sebegini tidak seharusnya berulang dan wajar menjadi iktibar bersama untuk membina persekitaran pendidikan yang lebih selamat, beradab, dan bebas daripada sebarang bentuk penderaan atau buli.
Budaya menyebar berita palsu, menyerang peribadi, dan mempolitikan isu ini hanya akan menjejaskan kredibiliti perjuangan serta mengalih perhatian daripada usaha mencari kebenaran. ABIM mengingatkan bahawa tindakan terburu-buru boleh memberi kesan berantai, termasuk kepada pelajar lain yang mungkin menjadi mangsa tuduhan tanpa bukti, selain berpotensi mengganggu siasatan polis yang sedang berjalan.
Gesaan agar Menteri Pendidikan meletak jawatan wajar dilihat secara berhemah, kerana penyelesaian sebenar memerlukan fokus kepada proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan Malaysia mengikut saluran yang sewajarnya.
ABIM menegaskan bahawa biarlah undang-undang menghukum pesalah jika terbukti bersalah. Andai wujud suspek dari kalangan di bawah umur, mereka wajar didekati dengan sokongan moral, motivasi, dan kaunseling, dengan mengambil kira bahawa mereka masih di bawah umur serta dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang menekankan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak. Justeru, pendekatan pemulihan perlu diutamakan berbanding hukuman semata-mata.
Masyarakat juga perlu memberi ruang untuk mereka menginsafi apa yang berlaku, bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi merungkai kisah sebenar tragedi, dan menjadikan kes Almarhumah Zara Qairina Mahathir sebagai pengajaran untuk menuntut keadilan bagi kes-kes seumpamanya, demi memastikan hak semua anak di bawah umur sentiasa dilindungi.
ABIM juga menyatakan kesediaan menerusi Rahmah Support Team (RST) untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kaunselor sekolah, dan agensi berkaitan bagi menyediakan sokongan moral, pendidikan adab, dan bimbingan emosi kepada pelajar serta komuniti sekolah yang terkesan.
Kes ini harus menjadi pemangkin kepada reformasi sistem anti-buli dan perlindungan pelajar negara, agar setiap pelajar berada dalam persekitaran pendidikan yang selamat, beradab, dan bebas daripada ancaman fizikal mahupun psikologi.
ABIM menyeru semua pihak, termasuk ibu bapa, guru, netizen, dan pihak berkuasa, untuk mengutamakan adab dan fakta, menolak budaya buli fizikal mahupun siber, serta mengamalkan kaedah tabayyun sebelum membuat sebarang tuduhan. Isu ini tidak wajar dijadikan alat politik, sebaliknya mesti diurus dengan hikmah, keadilan, dan nilai kemanusiaan demi memastikan tragedi seperti ini tidak berulang.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
