18 hingga 20 September 2015:- Muktamar ABIM Kali Ke-44 telah menyaksikan pertukaran beberapa posisi kepimpinan. Pertukaran ini merupakan sebahagian daripada proses perkembangan ABIM selaku wadah perjuangan untuk generasi muda. Antaranya ialah ia menyaksikan dua orang Naib Presiden ‘dimantankan” untuk memenuhi maslahat yang lebih besar di lapangan yang memerlukan. Saudara Hasri Harun (Kini Penolong Setiausaha Agung WADAH), bekas Naib Presiden yang menyampaikan ucapan terakhirnya di atas platform ABIM, tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan susah-payah serta jalan perjuangan panjang yang dilalui oleh para pemimpin serta aktivis ABIM. Beliau yang pernah diberi tanggungjawab berat selaku Yang Dipertua ABIM Selangor ketika baru berusia 27 tahun; menggesa semua anggota jemaah agar sentiasa bersedia; untuk diberi amanah bagi menyumbang kepada umat. Dengan penuh keinsafan, beliau mendeklamasikan sajak ‘Aku Orang ABIM’. Tokoh Belia ASEAN dan bekas Naib Presiden ABIM, Saudara Jufitri bin Joha dalam ucapannya, menyentuh berkenaan perlunya ahli ABIM mempertingkatkan integriti pemikiran, pembacaan serta pidato bagi memperkasa lagi kemahiran diri dalam mendepani umat. Selain menyeru agar semua membina aspek yang lebih inklusif dalam masyarakat, beliau mengimbau bagaimana pentingnya kemampuan berpidato yang baik, apabila beliau sendiri – yang asalnya kurang mahir mendepani khalayak; menjadi semakin yakin apabila mendengar pidato-pidato Saudara Amidi (ketika era PKPIM). Saudara Jufitri juga yang kini merupakan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) menyatakan keperluan besar untuk ABIM berusaha untuk menjangkau (reach out) lebih banyak isu yang merentasi pelbagai bidang; termasuklah isu orang kelainan upaya (OKU) dan rasuah. Alhamdulillah, muktamar kali ini berlangsung dengan lancar meski melibatkan pembabitan ramai perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara. Kobar jiwa merdeka; julang semangat zaman. Ayuh, sejahterakan Malaysia dengan dakwah!
