Ogos 2021: ABIM & Agensi hulur bantuan #KSSB kepada keluarga yang terkesan akibat Covid-19 di seluruh negara

October 13, 2021
editor@abim

Ogos 2021: ABIM & Agensi hulur bantuan #KSSB kepada keluarga yang terkesan akibat Covid-19 di seluruh negara

Sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini khususnya, para aktivis dan petugas lapangan ABIM Pusat, ABIM Negeri, ABIM Daerah serta Agensi di seluruh negara bertungkus-lumus ke banyak lokasi; memanjangkan amanah sumbangan Kempen Seorang Sekampit Beras (#KSSB) daripada rakyat Malaysia.

Dari ceruk pedalaman, kawasan perkampungan sehinggalah ke kawasan golongan miskin bandar, kami tetap berikhtiar menghulurkan bantuan, mesti terdapat pelbagai kekangan serta keterbatasan.

Menerusi kerjasama dengan antara lain Zak Capital, Galeri Prima, MBSB Bank, AIBIM, Projek Wawasan Rakyat (POWR), Projek Bangsa Malaysia (PBM), Projek 57, GPM, MFS, Majlis Belia Malaysia (MBM), ADAB Youth Garage (AYG) dan sebagainya, sumbangan disampaikan demi membantu mereka yang memerlukan.

Penyampaian sumbangan turut diberikan kepada para wartawan dan pejuang #BarisanHadapan (jururawat dan doktor khususnya) – seperti gaun bedah (surgical gowns), pelitup muka, sarung tangan pakai buang (disposable gloves), dan makanan percuma.

Alhamdulillah, pada 29hb Ogos 2021, ABIM Pusat meneruskan agihan bantuan set Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB), kali ini ke Apartment Pantai Indah, Bangsar. Sebanyak 50 buah keluarga daripada pelbagai latar belakang menerima bantuan dalam sesi kali ini.

Alhamdulillah pada Ahad, 1hb Ogos 2021, skuad ADAB Youth Garage (AYG) tiba di lokasi, 5 buah kenderaan AYG dipandu masuk ke dalam perkarangan Surau An-Nur di Pangsapuri Seri Perantau, Klang dan disambut oleh Encik Syawal, Timbalan Persatuan Kebajikan Penduduk dan juga jawatankuasa yang lain. Pangsapuri ini mempunyai 12 buah blok kediaman, dengan 1,656 pintu dan lebih kurang 7,000 penghuni yang terdiri daripada 55% masyarakat Melayu, 44% India dan 1% lain – lain.

Kami dikhabarkan M40 yang berada di sini sekitar 10 keluarga sahaja, selebihnya adalah dari kalangan B40. Kebanyakan mereka bekerja di kilang berdekatan dan hampir separuh kilang tidak beroperasi asbab PKP. Dengan rekod bawah 40% sahaja yang bekerja, namun ada juga gajinya yang dipotong separuh.

Pada 21hb Ogo 2021, Skuad Bendera Putih AYG sekali lagi turun ke Pangsapuri Seri Perantau, Klang menyerahkan bantuan sebanyak 100 set untuk keluarga yang memerlukan.

Pilu hati kami mendapat perkhabaran ada keluarga yang kematian ibu dan ayah berpunca daripada Covid-19. Anak perempuan sulung yang berumur 21 tahun yang merupakan pelajar IPT menggalas amanah menjaga 4 lagi adik-adiknya yang lain. Yang paling kecil usianya 5 tahun. Berkat daripada kemuliaan arwah ibu dan ayahnya semasa hidup, ramai jiran tetangga yang sudi hulurkan bantuan. Wakil penduduk juga maklumkan bahawa keluarga ini akan berada di bawah jagaan dan pemantauan daripada persatuan penduduk.

Selain itu, AYG dimaklumkan juga berkenaan dengan idea cadangan ketika mereka turun beberapa minggu terdahulu untuk mewujudkan food bank berjaya diadakan. Selesai agihan, AYG terus bergerak pula ke PPR Kota Damansara bagi menyampaikan 50 set bantuan.

50 set bantuan terputus bekalan yang isinya seperti beras, ayam, telur dan lain lain makanan kering merupakan sumbangan daripada CSR Etiqa. Turut sama menyumbang buah-buahan segar daripada Hospital KPJ Damansara.

Pada Rabu, 25hb Ogos 2021, Skuad Bendera Putih AYG meneruskan pelan edaran Bantuan Terputus Bekalan AYG – Etiqa di Shah Alam. Sejumlah 50 set di Pangsapuri Rimba Jaya dan 50 set di PPR Kampung Baru HICOM.

Pada Khamis, 26hb Ogos 2021, sekali lagi AYG bersama SALWA dan PKPIM menghantar 4,000 set kit solat, jam waktu solat dan pelitup muka KN95 buat para pesakit dan petugas di MAEPS, Serdang.

Pada 27hb Ogos 2021, 100 set telah diagihkan AYG: 50 set di PPR Taman Medan seterusnya 50 set lagi ke PPR Kota Damansara.

Pada 8hb Ogos 2021 (Ahad), agihan sumbangan kepada penerima di PPR Seri Sarawak telah dibuat oleh PKPIM bersama ABIM Wilayah Persekutuan.

Kemudian, pada 14hb Ogos 2021, ABIM Wilayah telah menggerakkan agihan Tabung Bantuan Asas PKP 3.0 Batch 6 di sekitar PPR Pudu Ulu bersama pihak Gerobok Kasih Sayang yang senantiasa mengambil berat kebajikan masyarakat setempat.

Pada 16hb Ogos 2021 pula, ABIM Wilayah Persekutuan telah menyampaikan sumbangan di kawasan Kuarters KTMB Jalan Lengkuk Abdullah. Seramai 5 buah keluarga yang terjejas akibat Covid-19 telah menerima sumbangan.

Pada 22hb Ogos 2021, ABIM Wilayah Persekutuan bersama Rise4U, mengagihkan baucer makanan bernilai RM100 kepada 10 orang peniaga/penjaja kecil di Pasar Wirawati, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Pada 22hb Ogos 2021 juga, ABIM Wilayah Persekutuan bersama Rise4U, mengagihkan baucer makanan bernilai RM100 kepada 70 buah keluarga daripada kalangan Kumpulan B40, di Gombak. Program agihan ini ditaja oleh Yayasan Hartalega dan Yayasan Mah Sing dan #OpsHarapan, dengan kerjasama WADAH Wilayah Persekutuan, SALWA Wilayah Persekutuan, PPIWP dan Forum Ekonomi Manusiawi.

Pada 31hb Ogos 2021, pengagihan Gerobok Kasih versi Hari Kebangsaan ke-64 tahun buat 50 keluarga Pinggiran Batu Caves dan penyerahan kerusi roda buat seorang ibu, warga emas berusia 70 tahun, yang kini menjalani rawatan dialisis atas komplikasi darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

Setinggi-tingi penghargaan buat para dermawan yang budiman. Sinergi Rise4U bersama-sama WADAH Wilayah Persekutuan , ABIM Wilayah Persekutuan, PPIWP, SALWA Wilayah Persekutuan dan Forum Ekonomi Manusiawi dalam gerak kerja lapangan bagi menyebarluaskan rasa muhibbah dan ukhuwwah sesama manusia.

Di Kedah, pada 27hb dan 28hb Ogos 2021, ABIM Padang Terap menyampaikan agihan KSSB Fasa 1/2021 di sekitar kawasan tersebut. Seramai 33 buah keluarga telah dikunjungi untuk KSSB kali ini, satu inisiatif ABIM Negeri Kedah dan ABIM Daerah Padang Terap untuk membantu golongan asnaf.

Di Pulau Pinang, pada 4hb Ogos 2021, ABIM Seberang Perai Selatan menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan di sekitar Seberang Perai Selatan. Sumbangan berupa barangan keperluan asas ABIM Prihatin 3.0 bagi golongan yang memerlukan di sekitar Kampung Che Aminah, Kampung Teluk Ipil, Kampung Bagan Buaya dan Kampung Changkat Nibong Tebal.

Pada Khamis, 5hb Ogos 2021, ABIM Seberang Perai Selatan menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan di sekitar Nibong Tebal dan Sungai Acheh.

Pada Isnin, 9hb Ogos 2021, ABIM Seberang Perai Selatan menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan di sekitar Kampung Sungai Udang dan Kampung Sungai Bakau.

Pada Jumaat, 20hb Ogos 2021, ABIM Seberang Perai Selatan turut sama menghulurkan sumbangan juadah makanan kepada penduduk yang terjejas dengan bencana banjir di sekitar Kampung Sungai Kechil.

Pada Jumaat. 27hb Ogos 2021, ABIM Seberang Perai Selatan mewakili team OAG3B membuat serahan sumbangan juadah di sekitar Kampung Masjid Baru.

Di Perak, pada 19hb Ogos 2021, ABIM Perak dan Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) menggerakkan misi bantuan prihatin di sekitar Taman Pengkalan Jaya SPPK, bersama Tuan Haji Md Noor, Exco Kebajikan Masjid Al-Furqan. Terima kasih kepada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) atas sumbangan beras yang diberi.

Pada 25hb Ogos 2021, ABIM Perak dan KPIP menggerakkan misi bantuan prihatin di sekitar Kampung Seri Kinta, bersama Tn. Hj. Idris @ Pak Aji, AJK Masjid Seri Kinta. Terima kasih kepada pejabat YB Senator Hj Ismail Yusop (Tok Abah) atas sumbangan yang disalurkan.

Di Kelantan, pada 1hb Ogos 2021, ABIM Pasir Mas bersama Majlis Belia Negeri Kelantan, barisan EXCO Majlis Belia Jajahan Pasir Mas , GPMS Pasir Mas, Blackflurry Rovers Crew dan Belia Pak Hussin Kbkph serta pemimpin tempatan mengagihkan 100 bakul makanan kepada insan yang terkesan dengan ‘lockdown’ akibat pandemik Covid-19. Sumbangan digerakkan sejak 10hb Julai 2021.

Pada 8hb Ogos 2021, Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan ABIM Kelantan sebagai rakan mobilisi dalam Relawan Untuk Malaysia sebuah kelolaan Majlis Belia Malaysia, menyerahkan bantuan kepada YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat ADUN Pengkalan Kubor sebagai mewakili rakyat di sana, bersama Majlis Belia Negeri Kelantan dan rakan-rakan NGO yang lain. Bantuan diberikan d ikawasan Pengkalan Kubur, Tumpat. Sejumlah 200 ratus pek makanan dan 5 buah kerusi roda disampaikan kepada masyarakat dinegeri Kelantan.

Pada 9hb Ogos 2021, ABIM Kelantan dan GPM menggerakkan program agihan bantuan di Machang dan Kuala Krai.

Pada 16hb Ogos 2021, Islamic Outreach ABIM (IOA) Kelantan bersama SME Bank (Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Berhad) membuat agihan kepada asnaf yang terjejas akibat Covid-19 telah bermula pada 16hb Ogos 2021 di Kok Lanas, Kota Bharu, Bachok, Tumpat dan Kuala Krai. Lokasi-lokasi asnaf di Tanah Merah, Pasir Putih, Pasir Mas, Rantau Panjang, Jeli dan Gua Musang menyusul.

Pada 20hb Ogos 2021 (Jumaat), Sdra. Faizal Hussien (Penolong Setiausaha MBK) membuat penyerahan kerusi roda kepada St. John Ambulans Malaysia Negeri Kelantan. Sumbangan daripada Yayasan Amirul Ummah dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM), ABIM Kelantan Alumni Parlimen Belia Malaysia, GPM Malaysia, Bakti Kasih & Majlis Belia Kelantan (MBK) dalam misi Relawan Untuk Malaysia (RUM) Negeri Kelantan.

Pada 24hb Ogos 2021, Islamic Outreach ABIM (IOA) Kelantan bersama SME Bank (Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Berhad) melakukan agihan kepada Saudara Baru di kawasan Rantau Panjang dan Pasir Mas.

Pada 25hb Ogos 2021, Islamic Outreach ABIM (IOA) Kelantan bersama SME Bank (Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Berhad) membuat penghantaran Bakul Makanan Covid-19 dalam Program Operasi Dakwah Orang Asli. Serahan dibuat kepada 120 KIR (85 KIR Kuala Lah dan 35 KIR Sri Galas) di Kuala Lah, Sri Galas dan Gua Musang.

Di Johor, pada 10hb Ogos 2021, agihan 37 set bantuan KSSB telah selesai diagihkan kepada mereka yang memerlukan. 25 set telah diedarkan oleh ABIM Johor di Flat Temenggong Kulai dibantu oleh LPPKN Negeri Johor dan selebihnya di sekitar daerah Johor Bahru. Edaran kemudiannya disampaikan di sekitar Pasir Gudang.

Di Sarawak, pada 7hb Ogos 2021 (Sabtu), aktivis ABIM Sarawak dan PERKEPIS telah mengagihkan bantuan kepada 26 buah keluarga di sekitar kawasan Kampung Sejijak. Pengagihan bantuan ini disalurkan di Surau Darul Hikmat, Sejijak yang turut dihadiri oleh Sdra. Awang Syazuan (Yang Dipertua ABIM Sarawak) dan juga wakil daripada JK Surau.

Pada 8hb Ogos 2021 (Ahad), pimpinan ABIM Sarawak dan PERKEPIS menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Semarang. Pihak ABIM menyalurkan sumbangan ramai berbentuk pakaian, bantuan keperluan asas dan kampit beras. ABIM Sarawak turut bersimpati kerana dikhabarkan rumah terbakar berpunca daripada seorang penagih dadah yang membakar rumah tersebut dan api merebak terkena rumah bekas ketua kampung Semarang. Semoga keluarga Encik Uton terus bersabar atas ujian ini.

Pada 28hb Ogos 2021 (Sabtu), Aktivis ABIM Sarawak dan PERKEPIS meneruskan Kempen Seorang Sekampit Beras 2021 dengan menyalurkan sumbangan orang ramai di beberapa lokasi sekitar Kuching-Samarahan iaitu: Gita Laut, Bintawa Ulu, Batu Kawa, Muara Tabuan, dan Kampung Naie Baru, Samarahan. Terima kasih Puan Suraya, Ketua Wanita di Kampung Naie Baru atas kesudian bersama dalam pengagihan bantuan ini.

Di Sabah, pada 1hb Ogos 2021, seramai 40 buah keluarga di Kota Kinabalu menerima bantuan makanan asas melalui Projek Bantuan Makanan Asas COVID-19 (BMAC) 3.0 yang digerakkan bersama antara ABIM Sabah, Malaysia for Syria (MFS Care) dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia di beberapa kawasan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu (7 keluarga), Sepanggar (9 keluarga), Menggatal (4 keluarga), Likas (8 keluarga), Kepayan (3 keluarga), kawasan 1 Borneo (4 keluarga) dan Inanam (5 keluarga).

Pada 2hb Ogos 2021, di Putatan dan Penampang, seramai 12 buah keluarga menerima bantuan makanan asas melalui Projek Bantuan Makanan Asas COVID-19 (BMAC) 3.0 yang digerakkan bersama antara ABIM Sabah, Malaysia for Syria (MFS Care) dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia di daerah Putatan (10 keluarga) dan Penampang (2 keluarga).

Pada 4hb Ogos 2021, di Tuaran, seramai 34 buah keluarga menerima bantuan melibatkan beberapa kawasan iaitu Kampung Lok Batik (2 keluarga), Telipok Ria (11 keluarga), Pekan Telipok (3 keluarga), Pekan Tuaran (6 keluarga), Taman Rugading (6 keluarga), Pekan Tamparuli (4 keluarga), dan Tenghilan (2 keluarga).

Pada 8hb Ogos 2021, seramai 12 buah keluarga menerima bantuan makanan asas di daerah Papar (8 keluarga) dan Membakut (4 keluarga).

Pada 18-20hb Ogos 2021, sebanyak 83 set makanan tengahari telah diagihkan kepada barisan hadapan (frontliner) di dua buah tempat iaitu Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Sulaman berdekatan Kampus INTAN dan Pusat Pensampelan Covid-19 Likas.

Pada 20hb Ogos 2021, ABIM Ranau dan ABIM Kampar memberikan bantuan segera Bakul Makanan Asas Covid-19 kepada penerima yang sangat-sangat terkesan ekonomi dan sara hidup.

Pada 28hb Ogos 2021, seramai 28 buah keluarga menerima bantuan susu tepung formula kanak-kanak di Foodbank Anjung Selera Likas, Kota Kinabalu.

Pada 28hb Ogos 2021, sebanyak 15 set makanan tengahari telah diagihkan kepada sukarelawan Gabungan NGO Kota Kinabalu di Pusat Food Bank Anjung Selera Teluk Likas, Kota Kinabalu. Sumbangan makanan tengahari ini adalah inisiatif bersama Majlis Belia Sabah dan ABIM Sabah melalui projek Dapur Belia 4.0 x Tapau.

Jangan sampai ada yang tidur dalam kelaparan. Jangan sampai ada yang telah berputus harap. Rakyat terus setia menjaga rakyat. Ini tekad kita. Ayuh bersama gerakkan usaha dan keprihatinan kepada masyarakat sekeliling menerusi Program KSSB.

Terima kasih kepada semua sukarelawan serta penderma yang budiman. Kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala kita bergantung, sesama masyarakat dan rakyat kita tolong-menolong.

“Memberi bukan tunggu ‘ada’; beramal bukan tunggu ‘kaya’. Menyumbang bukan kerana berada, tapi kerana faham rasanya tiada.”

Salurkan sumbangan seikhlas hati anda di sini: Bank Islam: 14-023-01-003-055-2 (Rujukan: #kssbABIM2021) dan/atau klik: https://www.billplz.com/kssb-abim

Salam keprihatinan & kasih sayang dari meja petugas lapangan ABIM dan Agensi.

#ABIMdiHatiku #YaAllahSelamatkanMalaysia #BangsaMalaysia #BangkitBersama

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR