Pelaksanaan Program Dwi-Bahasa Boleh Renggangkan Masyarakat

March 30, 2016
editor-media

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program Dwi-Bahasa (DLP) dilihat akan merenggangkan masyarakat, bersifat rasis sekali gus bertentangan dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan sedia ada. Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin berkata, persoalan mengapa ia hanya dibuat di sekolah jenis kebangsaan juga harus dijelaskan kerajaan. “Ketiadaan pelaksanaan dasar itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil juga menimbulkan tanda-tanya masyarakat. “Kenapakah kali ini kerajaan menjalankan dasar merenggangkan lagi masyarakat, perkauman dan rasis. Ia hanya dibuat di sekolah kebangsaan, kenapa tidak buat di SJKC, tidak di SJKT? “Saya rasa ia bertentangan dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Ia seharusnya dibuat untuk merapatkan perpaduan negara. “Pelik, pelik,” katanya ketika ditemui semasa ‘Himpunan Keranda 152: Bantah DLP’ di sini hari ini. DLP dilaksana dalam mata pelajaran sains, matematik, teknologi reka bentuk dan teknologi komunikasi dan informasi (ICT) kepada pelajar Tahun 1, Tahun 4 dan Tingkatan 1 di 300 buah sekolah bermula sesi baru Januari 2016. Keranda 152 merujuk kepada perarakan bantahan para pejuang Bahasa Melayu terutama penulis dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mencapai kemuncaknya pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya. Perarakan itu merupakan simbolik kepada kematian bahasa Melayu apabila kerajaan tidak menepati janji untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR