Perhimpunan Belia Islam Antarabangsa Angkat Tema Islam Rahmatan Lil'Alamin - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Perhimpunan Belia Islam Antarabangsa Angkat Tema Islam Rahmatan Lil’Alamin

Hujung minggu ini bakal bermulanya Perhimpuan Belia Antarabangsa atau 12th International Youth Gathering (IYG) 2015 yang akan menghimpunkan lebih 200 orang anak muda seluruh dunia. Sempena IYG ini satu persidangan antarabangsa, International Conference: Islam Rahmatan lil ‘Alamin turut akan diadakan yang akan mengetengahkan tema Islam Rahmah Ke Seluruh Alam.

Rahmah adalah kata kunci yang merumuskan segala objektif syari`at (maqasid al-shari`ah) termasuk hak asasi manusia, kebebasan, keadilan, persamaan dan apa sahaja yang membawa maslahah (kepentingan) kemanusiaan. Acara ini merupakan perhimpunan dua kali setahun di mana pelaksanaan program ini berlangsung di Turki dan diselang-selikan dengan penganjuran IYG di negara luar yang dilaksanakan oleh NGO yang bernaung dibawah payung UNIW (Union of NGO’s Islamic World) yang berpusat di Istanbul yang mendapat naungan penuh dari Presiden Turki, Racep Tayyip Erdogan.

UNIW adalah sebuah gerakan masyarakat madani antarabangsa yang dianggotai lebih 264 organisasi bukan kerajaan (NGO) dari 52 negara di seluruh dunia. Semenjak ditubuhkan pada 1 Mei 2005, UNIW yang turut dianggotai oleh gerakan seperti ABIM dan PKPIM komited ke arah mengetengahkkan tema perpaduan dan konsep Islam sebagai “Rahmatan Lil ‘Alamin”.

Justeru, pada tahun ini, ABIM sebagai salah sebuah badan gabungan UNIW telah diamanahkan sebagai penganjur bagi perhimpunan kali ini yang akan bermula pada 31 Januari 2015 hingga 6 Februari 2015 bertempat di Hotel Flamingo, Ampang dan sudah tentunya sebagai alumni kepada tiga perhimpunan IYG sebelum ini di Indonesia, Turki dan Morocco saya diberi tanggungjawab sebagai Pengarah bagi menjayakan perhimpunan IYG kali ke-12 ini.

Sebagai permulaan, persidangan antarabangsa pada hari Ahad, 1 Februari 2015 dengan mengangkat tema “Islam Rahmatan Lil ‘Alamin” persidangan ini akan menampilkan tokoh pemikir Islam terkemuka, Prof Dr. Tariq Ramadan yang akan menyampaikan syarahan bertajuk “Quranic Concept Of Jihad” khasnya memberi penerangan serta kefahaman mengenai konsep jihad yang sebenarnya menerusi perspektif Al-Qur’an dan membetulkan tafsiran yang negatif terhadap jihad.

Tema ini juga mengambil kira pelbagai perkembangan sejagat seperti serangan ke atas Charlie Hebdo, tragedi penahanan tebusan di Sydney, Australia dan ekstremisme kumpulan IS. Perspektif ini turut akan dikongsi oleh Mr. Felix Marquardt, Ketua Pegawai Eksekutif Marquardt & Marquardt yang akan mengupas topik ‘Islam and the Global Narrative: Lessons from the Charlie Hebdo Episode’ dan ramai lagi tokoh intelektual dan aktivis yang bakal memberi pencerahan berkenaan tema yang akan dibincangkan antaranya Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dr. Syed Khairudin Al-Juneid dari Universiti Singapura dan Dr. Zulkifli Hasan dari Malaysia.

Apakah signifikan perhimpunan seperti ini? Jawapannya, angkatan belia dan anak muda seharusnya diberikan pendedahan berhubung dengan senario yang berlaku di sekeliling mereka. Umumnya, masyarakat ketika ini lebih senang dan lunak dengan trend keserderhanaan (moderation). Justeru, ini tidak bermakna anak muda harus complacent dan contended dengan suasana dan persekitaran mereka lantas mereka tidak terkesan sedikitpun dengan apa yang berlaku.

Hakikatnya peranan anak muda amatlah dituntut sebagai pencetus kepada perubahan terhadap isu-isu antarabangsa yang berlaku dengan kefahaman yang lebih mendalam dan mendasar. Dalam konteks Malaysia, anak muda tidak wajar hanya menjadi kelompok yang eksklusif sehingga orang lain tidak mengetahui apa yang sedang mereka lakukan. Jika fenomena yang sedemikian masih berlaku, anak muda tidak boleh menggelarkan diri kita sebagai seorang pejuang, reformis dan segala macam istilah perubahan yang stylo sifatnya.

Susulan dari persidangan ini, para peserta akan membentangkan kertas kerja berdasarkan kepada tema yang telah ditetapkan antaranya berkenaan anak muda dan pembangunan Negara, kepelbagaian kemajmukan dalam bingkai kesatuan, ekstrimisme dan banyak lagi. Di akhir perhimpunan, resolusi persidangan akan dibentuk dan akan dijadikan sebagai panduan gerak kerja bersama oleh 200 orang anak muda ini.

Justeru, perhimpunan antarabangsa ini merupakan tanda solidariti generasi muda sejagat yang mendukung konsep “Islam Rahmatan Lil Alamin” yang menolak sama sekali gejala ekstremis yang keterlaluan yang sedang mengancam kestabilan sosio-politik-ekonomi antarabangsa dan pada masa yang sama bersedia dalam mencorakkan masa depan yang lebih baik buat dunia.

Sudah tentu menerusi program seperti ini, generasi muda hari perlu mengembalikan tradisi constructive engagement yang telah dilakukan oleh generasi awal dengan mengambil inisiatif melakukan usaha-usaha yang lebih serius dalam berinteraksi dengan komuniti dunia yang merentas batasan etnik, kaum, dan agama yang pelbagai. Usaha seperti ini adalah wajar agar prinsip ‘co-existence’ dan ‘interaction’ dengan masyarakat yang berlainan agama dan budaya adalah menjadi kayu ukur kejayaan bersama.

Tambahan pula, pembinaan jaringan antarabangsa dan kepimpinan ummatik ini telah dibuktikan dengan lahirnya pemimpin ‘bersosok massa berjalur inteligensia’ yang telah mendapat pendedahan awal melalui platform seperti ini sewaktu mereka masih lagi muda belia antaranya Rashid Ghanushi, Anwar Ibrahim, Racip Tayyip Erdogan, Anis Ahmad, Yusuf al-Qaradawi, Mustafa Usman Ismail, Abdul Hamid Abu Sulayman dan ramai lagi. Hari ini mereka semua berdiri dalam posisi dan platform masing-masing baik dalam bidang politik, sosial, intelektual, agama dan lain-lain.

Justeru, tidak mustahil sekiranya program seperti Perhimpunan Belia Antarabangsa ini masih lagi diteruskan oleh anak muda, nescaya masa depan yang lebih baik untuk dunia bakal terhasil dalam jangka masa yang sederhana dan panjang. Jaringan dan perkenalan di usia muda dalam membincangkan gagasan besar bakal berterusan sehingga ke hubungan diplomatik antara Negara kerana mereka juga bakal mewarisi kepimpinan Negara masing-masing.

Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, anak muda tidak lagi dipisahkan dengan batasan geografi tetapi berlandasakan kepada ikatan ukhuwah yang dibina, anak muda perlu menggagaskan semangat solidarity, biz bir ummatiez atau kita satu ummah. Dalam pada masa yang sama, sudah tentunya medium perhimpunan seperti ini akan menjadi lompong sekiranya tiada ruang untuk menyatakan solidariti anak muda terhadap kezaliman, penganiayaan dan penindasan yang terus berlaku kepada umat di Palestin Asia Tenggara khususnya di Selatan Thailand dan bangsa Rohingya yang dibunuh kejam di Myanmar dan rintihan umat Uighyur yang dinafikan ha
k mereka.

Begitu juga dengan nasib umat Islam yang tidak menentu di Syria dan Palestin yang masih dilanda perang yang belum ada tanda penyelesaian termasuklah fenomena IS yang seringkali menambat hati anak muda untuk menyertai kumpulan sesat ini. Selain itu, menerusi perhimpunan ini, anak muda juga sepakat menolak sebarang sentimen perkauman sempit, menafikan hak orang lain, mengambil sikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik, sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamik kemajuan sesebuah Negara.

Oleh itu, ayuh anak muda! Masih belum terlambat untuk kalian memanfaatkan ruang dan peluang seperti ini untuk berpatisipasi dalam gerakan dan platform antarabangsa dengan menggarap peluang untuk menjalinkan networking seawal mungkin dan memanfaatkan kehadiran tokoh-tokoh dunia ke Malaysia. Sedarlah bahawa kita berada dalam era yang amat mencabar dan ruwet sifatnya.

Cabaran ini didorong oleh banyak faktor. Faktor yang paling utama sekali ialah peredaran zaman itu sendiri. Dunia hari ini amat berbeza sekali berbanding beberapa dekad lalu. Pada hari ini, dunia yang kita diami dikenali dengan ‘perkampungan sejagat’ atau ‘global village’. Era dunia hari ini yang digerakkan oleh peralihan zaman banyak dipengaruhi generasi yang berpandangan jauh dan berani melakukan perubahan. Sesuatu perubahan yang berpengaruh harus bermula dengan kekuatan ilmu pengetahuan, jaringan, pengalaman dan kemahiran soisal yang tinggi. Nah, kalau bukan sekarang bila lagi? Kalau bukan kita siapa lagi?

Oleh: Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin, Pengarah, International Youth Gathering (IYG).