Perihal madani dan MADANI

January 22, 2023
Admin Abim

Perihal madani dan MADANI

Oleh: Yasir Tarmizi

19 Januari 2023 – Khamis lepas berpeluang hadir ke Amanat Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Satu amanat yang bermakna kerana kali ini madani yang telah disyarah oleh sosok ini sejak berpuluh tahun dulu sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang, akhirnya diamanatkan kepada kita oleh beliau sebagai Perdana Menteri.

Sudah tentu bagi yang mengikuti madani sejak lama dulu, berasakan ini detik bermakna. Madani yang dikonsepsi oleh cendekiawan kita, akhirnya menjadi agenda nasional negara kita.

Tiada mana-mana Perdana Menteri sebelum ini yang mengangkat madani setinggi ini.

Kita yang kenal tentang madani daripada beliau, jika menelaah lebih dalam, pasti akan jumpa ilmuwan besar kita, Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang telah mencerakinkan makna dan huraiannya dengan penuh. Bagi saya, huraian Prof al-Attas adalah huraian yang memuaskan dan sangat saya galakkan semua untuk ikuti huraian beliau juga.

Dalam Membangun Negara MADANI, konsep masyarakat madani atau masyarakat yang bertamadun itu, dikembangkan kepada bentuk pelaksanaan dalam pentadbiran. Ianya bukan bersifat falsafah (philosophical) tetapi amat praktikal. Beliau susun pemikirannya dalam bentuk masalah dan gambaran penyelesaian. ‘In the flow of problems and solutions’.

Cita-cita PM Anwar adalah membentuk masyarakat Malaysia yang adil dan cintakan keadilan.

Namun dalam dunia pasca COVID-19, dengan cabaran yang melepasi kebiasaan sebelum ini – ‘world of complexity’, ‘contradiction and chaos’, dan semuanya berlaku ‘in spontaneity’ (serentak), penyelesaian biasa tak mampu menyelesaikan.

Maka dalam Membangun Negara MADANI, PM Anwar mengusulkan kerangka MADANI – rangkuman intisari 6 rukun, sebagai jawapan: Kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Dan sasaran beliau adalah dalam 8 bidang iaitu: Ekonomi kewangan, institusi, perundangan, pendidikan, kebudayaan, kemasyarakatan, bandar dan desa.

Dalam kata ringkasnya, beliau mahu semasa merumuskan dasar awam bagi setiap bidang di atas, kerajaan harus beratkan pandangan kepada keenam-enam rukun tersebut. Dan beberapa gambaran dasar awam beliau kongsikan sebagai panduan. Dan penghayatannya mestilah berakar kepada faham ‘karamah insaniyyah’ – kemuliaan insan.

MADANI adalah cara hidup negara kita hari ini dan akan datang. Cara hidup pentadbiran PM dan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, penjawat-penjawat awam, agensi kerajaan, syarikat-syarikat kerajaan dan berkaitan kerajaan, swasta dan rakyat.

Tapi untuk negara ini MADANI, pimpinan dan rakyat harus MADANI. Dan untuk rakyat MADANI, diri insan harus MADANI. Soalannya, adakah kita INSAN MADANI itu?

* Penulis adalah seorang jurutera yang cintakan tanah airnya dan sedang menelaah MADANI.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR