Presiden ABIM & PKPIM Kongsi Aspirasi Ustaz Siddiq Fadzil, Di DBP

June 5, 2023
Admin Abim

PRESIDEN ABIM & PKPIM KONGSI ASPIRASI USTAZ SIDDIQ FADZIL, DI DBP

31hb Mei 2023 (Rabu): Alhamdulillah, telah berlangsung sesi terakhir ‘Seminar Fikrah Siddiq Fadzil – Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia’ dengan topik “Pengaruh Fikrah Siddiq Fadzil dalam Pembangunan Peradaban Generasi Muda” telah diisi oleh Sdra. Muhammad Faisal Abdul Aziz, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Sdra. Ahmad Farhan Rosli, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Sesi Sdra. Faisal diterajui oleh Sdra. Mohammad Fazril Mohd Saleh, Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM). Menerusi sesi ini, fikrah, aspirasi serta hikmah dari tokoh Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil bersama anak muda telah dikongsi melalui perkongsian pengalaman selama mengenali Almarhum melalui kerja-kerja dakwah dan keilmuan yang dilakukan secara sinergi bersama anak muda.

Dalam sesi beliau, Sdra. Faisal menyatakan pembinaan tamadun bangsa yang dipelopori ABIM khususnya Almarhum Ustaz Siddiq Fadzil adalah menekankan pembentukan watak bangsa yang betul, dengan membawa etos bangsa, bukan tenggelam dalam perasaan ‘inferiority complex’ dengan minda tertawan, yang akhirnya membawa sikap rasis dan berterusan mengherdik orang lain. Acuan inklusif dan nuansa Islam yang kosmopolitan telah memandu pembinaan tamadun alam Melayu silam.

Pastinya kita merindui Ustaz Siddiq Fadzil, seorang ilmuwan yang menguasai ilmu bahasa, sastera dan persuratan Melayu, kekuatan pidatonya yang sarat ilmu, tulisan beliau yang penuh dengan seni bahasa yang cukup unik, sindiran halus dan lucu menyentuh isu semasa, rendah diri beliau melayan karenah anak muda seperti kami dahulu dan sentiasa membawa isu-isu rakyat.

Seminar ini telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan; Dato’ Hj. Pkharuddin Hj Ghazali, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia; YB Senator Datuk Seri Dr. Hj. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP; Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden WADAH; dan Prof. Dato’ Dr. Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL.

Hadir sama, Ustazah Datin Dr. Siti Zalikhah Md Nor (balu Almarhum Ustaz Siddiq Fadzil) beserta ahli keluarga, sasterawan negara, sahabat-sahabat serta para ilmuwan.

Majlis Penutupan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil – Citra Budaya Dan Peradaban Bangsa Malaysia di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disempurnakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.  

•••

Menyumbanglah seikhlas hati anda, walaupun RM1. Klik: https://www.billplz.com/kssb1444H

Sertai ABIM, klik ‘Daftar Sekarang’ di sini: https://app.myabim.my/login

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR