PRN Melaka 2021: Memorandum Gesaan Anak Muda Kepada Semua Parti Politik Yang Bertanding

MEMORANDUM GESAAN KEPADA SEMUA PARTI POLITIK YANG BERTANDING PRN MELAKA 2021
Bersempena dengan Pilihanraya Negeri Melaka 2021 yang akan berlangsung, kami daripada pertubuhan-pertubuhan belia Negeri Melaka dengan ini menggesa kepada mana-mana pihak yang akan membentuk kerajaan Negeri Melaka supaya mengangkat isu-isu di bawah:
1. Semangat perpaduan dan keharmonian Bangsa Malaysia: Kerajaan Negeri Melaka perlu bercitra kosmopolitan, mengutamakan keadilan dan kesaksamaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia tanpa sebarang diskriminasi dalam aspek jantina, bangsa, agama dan status ekonomi serta tanpa mengira perbezaan politik.
2. Pengupayaan ekonomi belia pasca covid-19: Kerajaan Negeri Melaka perlu terus menumpu ke arah pemberdayaan ekonomi rakyat Melaka terutamanya para belia serta mempergiatkan lagi usaha ‘gig’ ekonomi. Segala Inisiatif baik dan bermanfaat untuk rakyat Melaka terbanyak yang telah dilaksanakan sebelum ini wajar diteruskan tanpa mengira parti politik mana yang telah melaksanakannya sebelum ini.
3. Pengupayaan persatuan belia: Kerajaan Negeri Melaka perlu memastikan kesinambungan dana pengupayaan belia serta disalurkan kepada persatuan berteraskan belia yang sah berdaftar, absah dan aktif. Dana perlu bersifat objektif, bersasar dan meliputi kesemua domain pembangunan belia yang digariskan di bawah Indeks Belia Malaysia.
4. Kestabilan politik melaka: Kerajaan Negeri Melaka yang jujur, berintegriti, bermaruah, bertanggungjawab dan empati kepada rakyat perlu memastikan agar agenda pengukuhan serta kestabilan politik di Melaka diberi penumpuan sewajarnya, terutama dari aspek moral, integriti dan perundangan. Justeru itu, Rang Undang-Undang (RUU) Pecat Adun berasaskan petisyen dari pengundi kawasan mengambil contoh “The Recall of MPs Act United Kingdom” perlu dibawa untuk dibahaskan di peringkat Dewan Undangan Negeri Melaka segera agar menjadi sebahagian daripada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Melaka.
5. Kesejahteraan dan keharmonian keluarga: Kerajaan Negeri Melaka perlu senantiasa mengutamakan aspek kesejahteraan dan keharmonian keluarga rakyat Melaka apabila membuat sebarang dasar dan program. Isu kesihatan mental, keganasan berasaskan jantina, gangguan seksual dan seumpamanya yang kian meruncing harus ditangani segera dengan langkah-langkah penyelesaian yang efektif dan bersasar.
Sekian, mohon perhatian dan pertimbangan bakal pemimpin Kerajaan Negeri Melaka yang akan bertanding dalam Pilihanraya Negeri Melaka tahun 2021.
Ir Ts Hj Mohammad `Afif bin Kasno
(Yang DiPertua, ABIM Negeri Melaka merangkap Jurucakap Koalisi Pertubuhan-Pertubuhan Belia Melaka untuk memorandum gesaan ini)
No. Telefon: +60 19-648 1883
Koalisi Pertubuhan-Pertubuhan Belia Melaka untuk memorandum gesaan ini: