Prof. Emeritus Dr. Zhari bin Ismail, Tokoh Farmasi dan Kimia Farmaseutikal, Pulang ke Dakapan Ilahi

January 23, 2022
editor@abim

Prof. Emeritus Dr. Zhari bin Ismail, Tokoh Farmasi dan Kimia Farmaseutikal, Pulang ke Dakapan Ilahi

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian ke Rahmatullah – Profesor Emeritus Dr. Zhari bin Ismail pada 18hb Januari 2022 jam 7:37 pagi di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang

Almarhum merupakan mantan Pengerusi Syura WADAH-ABIM-PEMBIMBING Pulau Pinang dan terlibat mengasaskan ABIM United Kingdom pada 1981.

Tokoh dalam dalam bidang Farmasi dan Kimia Farmaseutikal ini terlibat bersama ABIM sejak 1976, dan antara pengasas Islamic Outreach ABIM (IOA) Pulau Pinang pada 1987.

Sumbangan Professor Zhari kepada negara khususnya di dalam dunia akademik dan farmasi bukan barang sedikit. Tutur bicaranya penuh tawadhu. dan padat dengan ilmu.

Aktivis ABIM yang Setia

Sewaktu menjadi pelajar ‘post graduate’ di University of Strathclyde, Glasgow, beliau sangat aktif mengaturkan tamrin. Profesor Zhari gigih sebagai seorang daripada pengasas-pengasas ABIM United Kingdom pada 1981. Beliau sanggup turun naik ke London dari Glasgow, perjalanan yang jauh dan pada suatu perjumpaan bersama 30 orang ‘brothers and sisters’ mengasaskan ABIM UK serta titik permulaan baru memugarkan semula pergerakan ABIM di sana. Dr Zhari sungguh komited dan berusaha ke sana ke mari bagi merancang, merencana dan menggerakkan program dan memastikan penyertaan pelajar.

Sekembalinya ke tanah air, beliau bergiat bersama ABIM Pulau Pinang dengan tumpuan kepada dakwah dan pembangunan belia. Dr Zhari rapat dengan pimpinan Majlis Belia Negeri dan mereka sangat menghormatinya, malah gemar menggelarnya ‘Prof Zhari’ walaupun pada ketika itu dia belum memperolehi kelayakan pangkat itu.

Dr Zhari memberitahu tentang keterlibatannya dalam ‘Larian Jambatan Pulau Pinang’ sebuah acara besar-besaran tahunan, acara awal pagi yang pertama kali mengadakan khemah Surau khas untuk solat subuh. Beliau telah meminta diadakan surau itu pada suatu mesyuarat.

Dr Zhari menceritakan bahawa pengerusi mesyuarat berkenaan menyambut cadangannya dengan gembira lantas berkata, “Surau ini khas untuk peserta ABIM nanti. Depa nak sembahyang.” Dr Zhari membalas dengan senyuman, “Surau itu untuk semua peserta dan petugas Muslim.” Ini menyebabkan ahli-ahli mesyuarat turut ketawa.

Profesor Zhari memperjuangkan Islamisasi ilmu dan sering menganjurkan kefahaman falsafah Islam di terapkan dengan tepat mengikut epistemologi, ontologi dan axiologi Islam yang tulen agar pendekatan dan perubahan yang dibawa itu bersifat holistik dan menyeluruh.

Profesor Zhari juga seorang daripada pengasas Islamic Outreach ABIM (IOA) Pulau Pinang pada 1987. IOA merupakan perintis yang membawa pembaharuan dan pemugaran dakwah dan penyampaian kefahaman Islam kepada masyarakat majmuk merentas budaya dengan kaedah baru dan berlainan daripada sebelum ini.

Profesor Zhari juga setia bersama pengkalannya, beliau adalah mantan Pengerusi Majlis Syura Wadah-ABIM-Pembimbing Pulau Pinang kedua selepas SS Dato Dr Wan Salim Mohd Noor.


Latar Belakang

Prof Dr Zhari Ismail dilahirkan 28 Jun 1949 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ialah seorang pakar dalam bidang Kimia Farmaseutikal. Minat beliau yang mendalam dalam produk asli yang mempunyai aktiviti “urolithic” telah membawa beliau jauh dengan memenangi beberapa anugerah antarabangsa. Beliau juga berminat dalam pemiawaian herba dan bidang-bidang yang sangat berkaitan dengan penyelidikan utama beliau seperti farmakognosi, sintesis dan prodrug.

Beliau telah berkawin dengan Sa’diah binti Abdullah dan dikurniakan seramai 13 orang cahaya mata yang menjadi kesayangan beliau dalam hidup ini, Zayd, Salman, Huzhayfah, Ahmad, Ammar, Imran dan Muadz adalah tujuh orang putera beliau, sementara Nur, Salwa, Zakiyyah, Hanaa, Nasreen dan Ilham adalah enam orang puteri beliau. Kemeriahan keluarga Prof Zhari diserikan lagi dengan kehadiran 5 orang cucu daripada 4 anak yang berkeluarga. Semua nama anaknya hanya mempunyai satu nama yang menggambarkan Prof Zhari ialah seorang yang sederhana dan sangat bersahabat. Orangnya serius dalam bidangnya dan sangat fokus.

Fikrahnya yang jelas kepada Islam sejak di Institut Teknologi Bandung (ITB) lagi terserlah melalui pendidikan anak-anaknya. Tokoh idola beliau semasa di ITB ialah Bapak Dr Ir Imaduddin Abdul Rahim seorang dosen bidang Elektro di ITB, yang juga seorang pendakwah hebat. Dalam hidup seharian Prof Zhari begitu disiplin dalam mendidik keluarganya kearah Islam.

Setelah lulus dari ITB dengan memperolehi Sarjana Muda (B. Pharm) dan Sarjana Farmasi (M. Pharm) pada tahun 1976, beliau telah diterima oleh Universiti Sains Malaysia sebagai tenaga pengajar di Pusat Pengajian Sains Farmasi dan membiayai beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Strathclyde, Scotland sehingga mendapat PhD dalam bidang Kimia Farmaseutikal pada tahun 1982. Sejak mendapat PhD beliau terus gencar memburu gelar profesor dengan melakukan banyak penyelidikan bertaraf dunia.


Aktif Bersama USM

Profesor Zhari seorang daripada pengasas Persatuan Staf Islam Universiti Sains Malaysia PSIUSM, satu-satunya pertubuhan staf Islam IPTA yang ada di tanah air. Beliau merupakan Presiden pertamanya. Dengan kepimpinannnya seminar dan simposium berkait Islamisasi ilmu dan kesedaran Islam di kalangan warga pengajian tinggi dan kampus digerakkan. Simposium Siswazah Muda, Islam and Science, Islamization of Knowledge, Sekretariat Falsafah Islam dan Sains dihasilkan, termasuk penubuhan Hadanah dan Tadika Islam yang merupakan projek-projek perintis yang praktikal di USM.

Selain itu PSIUSM tidak absen daripada advokasi membantah aktiviti hiburan tidak Islamik dalam kampus, bertindak mengkritik dan menolak secara ilmiah buku anti hadith Kassim Ahmad, memperjuangkan izin pemakaian tudung bagi jururawat Universiti serta hospital amnya dan isu antarabangsa serta kemanusiaan Palestin, Afghanistan dan Bosnia Herzegovina.

Profesor Zhari gigih memperjuangkan standard dan sistem panduan halal farmaseutikal di negara. Dia sering menganjurkan usaha bagi mengenalpasti agar perkara-perkara mematuhi syariah dan supaya alternatif sentiasa dicari demi memartabatkan yang halal dan yang baik untuk umat. Profesor Zhari telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan atas kepakarannya dalam bidang Kimia Farmaseutikal.

Bagi mengiktirafnya sebagai pemimpin dan pakar dalam bidang farmaseutikal dalam disiplin sains perubatan dan kesihatan, dia dianugerahkan pangkat Profesor Emeritus oleh Universiti Sains Malaysia pada majlis konvokesyen 2021.

Penyelidikan beliau banyak tertumpu kepada bidang Fikokimia dan Farmakognosi tumbuhan ubatan tempatan yang berguna dalam penyakit batu ginjal, gout, antiangiogenesis dan keadaan yang berkaitan. Beliau telah menerbitkan lebih daripada 250 artikel saintifik dalam jurnal, monograf, prosiding, abstrak peringkat antarabangsa dan kebangsaan, beberapa buah buku dan monograf termasuk Indeks Tumbuhan Ubat Malaysia.

Beliau terlibat sebagai ahli pasukan Penyelidik dalam Malaysia-MIT (USA) Biotechnology Partnership Program (MMBPP) bagi Eurycoma longifolia (Tongkat ali) dan Centella asiatica (Pegaga).

Dalam bidang aplikasi teknologi maklumat berkaitan dengan bidang teras, beliau telah menjadi ahli kumpulan penyelidik USM bagi biosensors, melibatkan kaedah Kromatografi Gas pantas (z-Nose technology), “pattern recognition”, “artificial neural network (ANN)”, kemometrik dan metabolomiks bagi Pemiawaian dan QC herba yang memenangi beberapa anugerah peringkat Nasional dan Antarabangsa.

Walau pun beliau telah bersara pada tahun 2005, namun kepakaran beliau sukar dicari ganti dan USM terus memberikan kepercayaan kepada beliau sebagai Professor kontrak dan mengetuai Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi Pusat Pemiawaian Herba (CHEST-Centre for Herbal Standardisation) projek kerjasama Biotropics Malaysia Berhad dengan USM.

Dalam penerbitan beliau telah terlibat sebagai ahli dalam Sidang Editorial “Journal of Tropical Medicinal Plants (Malaysia)” dari tahun 2000 hingga 2011. Beliau juga telah diundang sebagai ahli Sidang Editorial “Journal of Ethnopharmacology” yang berpusat di Amsterdam, Belanda bermula tahun 2005 hingga 2011.


Pulang ke Dakapan Ilahi

Bagi menghargai jasa-jasa dalam bidang kepakaran beliau telah dianugerahkan sebagai Saintis Halal HDC tahun 2010 dan juga penerima Anugerah Khas Negeri Pulau Pinang sempena Maulud Rasul tahun 2011.

Prof Zhari telah bersara wajib pada tahun 2009 tetapi disambung perkhidmatan beliau sehingga Disember 2019. Namun, beliau dicalonkan untuk Prof. Emeritus dan Berjaya melepasi saringan-saringan dan juga mendapat kelulusan Senat dan LGU. Prof. Emeritus Zhari Ismail sepatutnya dianugerahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Canselor pada sidang konvokesyen 2020 yang tidak dapat diadakan kerana pandemik dan hanya diadakan pada 2 Disember 2021 baru-baru ini. Sedihnya, Prof tidak dapat hadir kerana telah jatuh sakit beberapa minggu sebelum itu.

Sebagai seorang Profesor yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran beliau telah dilantik sebagai pemeriksa luar bagi calon PhD dan M.Sc dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Allahummaghfirla-hu warham-hu wa ‘afi-hi wa’ fuan-hu. Sesungguhnya, kita milik Allah Subhanahu wa-Ta’ala selama-lamanya. Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala merahmati Almarhum, dan menempatkannya di sisi-Nya Yang Maha Pengasih.

InnaliLlahi wainna ilayhi raajiuun.

#AlFatihah

Sumber: Islah Media

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR