
2025 | Kota Kinabalu – Program Citra Gadis Unggul anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia diteruskan dengan jayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, melibatkan penyertaan lebih 200 pelajar perempuan dari kawasan Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang dan Papar.
Majlis dimulakan dengan ucapan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Azam bin Ahmad yang menekankan kepentingan memuliakan dan melindungi anak perempuan serta wanita dalam masyarakat.

Beliau menyeru agar pelajar tidak terpengaruh dengan budaya bercinta yang boleh merendahkan maruah diri dan mengingatkan bahawa kasih sayang dan perlindungan seharusnya datang daripada individu yang tepat seperti ayah, abang atau adik lelaki.
Program ini turut menampilkan tiga slot pengisian yang bermakna. Dalam slot pertama yang diisampaikan Dr. Sharifah Fatimah al Zahra Syed Hussein al Attas (Pakar Sosiologi, UIAM) dan Dr. Madiah binti Kamsani (Pakar Perubatan Keluarga, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah), slot ini menekankan pembentukan jati diri, nilai kendiri dan ketahanan sosial.

Penekanan untuk remaja wanita cakna terhadap ancaman jenayah seksual telah diutarakan oleh tiga panelis dalam slot “Forum Cakna Isu Gangguan Seksual dan Jenayah Pedofilia”. Tiga panelis iaitu Pn. Nartiah Fiona Mirchelle Sambatan (Peguambela dan Peguamcara), Inspektor Bahrun bin Dining (Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Marudu), dan Puan Haimasleha Harun (wakil PIBKS), menekankan kepada keberanian untuk melaporkan jenayah berkenaan di samping menggunakan aplikasi VSP (Volunteer Smartphone Patrol) sebagai saluran aduan pantas dan selamat.

Slot 3: Kepimpinan dan Pemberdayaan Remaja Wanita. Antara pembentang ialah Naib Presiden HELWA ABIM Dr. Fatin Nur Majdina binti Nordin serta Pn. Nurazimah binti Bongoh (Guru Pendidikan Khas SMK Kinarut dan Pengerusi KIRANA) memfokuskan kepada konsep “Kenali Diri & Bentuk Masa Depan” serta prinsip pembangunan diri gadis melalui 3B: Berusaha, Berani, Berjasa.

Sepanjang slot “Kepimpinan dan Pemberdayaan Remaja Wanita” kedua panelis ini mendedahkan para pesertaa dengan strategi menangani gangguan seksual melalui pendekatan “5D”: Direct, Distraction, Documentation, Delegation, Delay – sebagai saksi aktif yang bertanggungjawab.
Turut hadir, YBhg. Prof. Dr. Haslinda binti Abdullah (Pengarah IPDAS UPM dan Pengerusi FAME), Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit (Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah) dan Pn. Alice Lim (Persatuan Ibu Bapa Maktab Sabah), yang berkongsi pandangan dalam pelbagai isu berkaitan keselamatan dan kesedaran sosial.

Dalam ucapan perasmian, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menegaskan pentingnya agenda pemberdayaan wanita dimulakan sejak awal remaja:
“Agenda pemberdayaan perlu diterapkan sedari awal supaya potensi anak-anak perempuan dapat terus dikembangkan menjadi insan yang holistik dan cemerlang. Ini antara tumpuan utama kami untuk memberi kesedaran kepada anak-anak perempuan mengenai hak mereka untuk mendapat pendidikan terbaik dan mencapai impian dalam kehidupan.”
Program ini adalah anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Rakan Strategik; Dewan Bahasa dan Pustaka, Kumpulan Inisiatif Relawan Wanita dan Anak Sabah, Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia dan Family Empowerment.

Inisiatif ini dilihat sebagai platform penting dalam menyemai kesedaran, kekuatan dalaman, dan kepimpinan dalam kalangan remaja perempuan demi melahirkan generasi wanita masa depan yang berani, berdikari dan bermaruah.
