Projek Wakaf Al-Qur’an Braille Bantu OKU Penglihatan Dalam Al-Qur’an

August 2, 2016
editor-media

1 hb Ogos 2016 (Selasa): Dr. Professor Sheikh Wahbah Mustafa al-Zuhayli pernah menukilkan bahawa, ‘al-Karamah al-Insaniah’ atau prinsip menghormati martabat keinsanan dan maruah manusia adalah sumber hak asasi. Hal ini merangkumi hak asasi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU); yang hidup dengan penuh ujian di dunia ini; tetapi hakikatnya merupakan golongan yang sangat istimewa serta tabah.

Alhamdulillah, hari ini Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim bersama para pimpinan ABIM, berkesempatan melakukan kunjungan hormat serta menyampaikan sumbangan Projek Waqaf Al-Quran Braille (sebanyak RM12,864.39), kepada Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM) di Brickfields, Kuala Lumpur.

ABIM dan PPOBM telah menjalinkan kerjasama erat dan strategik sejak 2013, sedari pimpinan Presiden terdahulu, Saudara Haji Amidi Dato’ Abdul Manan. Projek ini adalah bertepatan dengan cita-cita besar ABIM untuk melahir serta memberdayakan Generasi Al-Quran yang Unik (Jilul Quran Al-Farid). PPOBM ditubuhkan bagi mewujudkan kesempatan saksama dan pernyertaan sepenuh Orang Kelainan Upaya (OKU) Penglihatan dalam segala aspek masyarakat.

Selain itu, pertubuhan ini turut menyediakan sumber dan perkhidmatan bagi pembangunan sosio-ekonomi OKU Penglihatan di Malaysia. Selain mencetak Al-Quran Braille, pihak PPOBM turut terlibat mencetak semula buku-buku kanak-kanak serta ensiklopedia untuk tujuan bacaan serta rujukan para OKU Penglihatan.

Dalam pertemuan ini, di samping bahan bacaan Braille; kemudahan awam; serta peluang pekerjaan yang terhad, pihak PPOBM turut menyentuh berkenaan perlunya masyarakat untuk menjadi lebih prihatin dan menyantuni golongan OKU, dalam beberapa isu yang dihadapi oleh golongan tersebut. Semoga kita semua dapat berganding bahu serta menyumbang; bagi membolehkan mereka berdikari serta menyumbang kepada komuniti, di samping memahami Islam dengan lebih dekat dan jelas.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR