Road Show Fitnah 2: Elakkan Perbicaraan Di Luar Mahkamah

February 18, 2015
editor-media

Laporan berkaitan hasrat Pemuda UMNO untuk membuat ‘road show’ fitnah 2 adalah dirujuk. Hasrat ini dilaporkan dalam laporan beberapa media arus perdana dan portal berita. Ia disebut dalam ucapan ketika majlis penerangan dan taklimat kes yang disampaikan oleh Tan Sri Shafee Abdullah seorang peguam kanan.

ABIM amat menghormati YB En. Khairy Jamaludin sebagai seorang pemimpin muda UMNO yang bijak, berkaliber dan berfikiran terbuka. Beliau juga tegas dalam mengemukakan pandangan dan sentiasa cuba untuk mengelak kenyataan yang bersifat peribadi. Dalam hal ini, hasrat beliau selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia amat sempit dan membahayakan masa depan negara. Langkah ini adalah langkah ‘perbicaraan di luar mahkamah’.

Perbicaraan di luar mahkamah mengundang ulasan-ulasan di luar konteks. Jika Pergerakan Pemuda UMNO memulakannya, sudah tentu nanti ada pihak lain yang akan bangkit menjawab dan melakukan majlis yang serupa. Perkara ini secara jelas berupaya menjejaskan kredibiliti sistem kehakiman negara. Perbicaraan di luar mahkamah akan berlangsung secara liar, tanpa etika dan keterlaluan. Mungkin akan berlaku tambahan-tambahan fakta secara semberono dan mengelirukan masyarakat.

Selain dari itu, beliau juga seharusnya peka dengan perkembangan kelompok yang mula muak dan hilang kepercayaan kepada sistem perundangan negara. Ini terbukti apabila satu rakaman video dimuatnaik baru-baru ini dengan ugutan mahu memusnahkan mahkamah. Seharusnya sebagai seorang pemimpin muda beliau perlu lebih berhati-hati, berpandangan jauh dan bertanggungjawab.

Tindakan ini sekaligus membuktikan bahawa jawapan balas pihak pendakwa yang menolak teori konspirasi politik, dan mahkamah telah pun menerima hujah pihak pendakwa dalam penghakimannya tidak mencukupi.

Tindakan bersabar selama 6 tahun oleh pihak UMNO adalah tindakan yang tepat. Ini kerana, tindakan itulah yang mengekalkan BN terus memerintah negara.

Kita semua bertanggungjawab untuk memelihara sistem perundangan negara seperti yang terpateri dalam ikrar Rukunegara kita iaitu ‘Kedaulatan Undang-undang’.

Amidi Abdul Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo