Sekitar Bengkel Gerakan Dakwah Negeri Kedah Anjuran ABIM Kedah dan Majlis Dakwah Negeri Kedah, Di Alor Setar - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Sekitar Bengkel Gerakan Dakwah Negeri Kedah Anjuran ABIM Kedah dan Majlis Dakwah Negeri Kedah, Di Alor Setar

Sekitar Bengkel Gerakan Dakwah Negeri Kedah Anjuran ABIM Kedah dan Majlis Dakwah Negeri Kedah, Di Alor Setar

13hb November 2021: Alhamdulillah, telah dianjurkan Bengkel Gerakan Dakwah Negeri Kedah di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar, yang diadakan melalui kolaborasi bersama antara Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Kedah dan Majlis Dakwah Negara (MDN) Negeri Kedah.

Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani oleh wakil-wakil NGO Negeri Kedah sebagai simbolik kerjasama dalam mengatur demi membugar dan melestarikan dakwah di Negeri Kedah.

Yang Dipertua (YDP) ABIM Kedah, al-Fadhil Ustaz Hazwan Syah Niezam Bin Abdul Haniff menyatakan bahawa, “Setiap individu adalah pendakwah, namun perlu wujudkan jaringan dan kumpulan serta wujudkan KPI setiap gerak kerja dakwah.”

Gerakan dakwah dilaksanakan bagi tujuan menyuburkan dakwah dengan meraikan, mengiktiraf dan menghulur tangan kerjasama dengan semua pihak sama ada kecil atau besar demi dakwah.

Usaha ini tidak mudah. Ada ketikanya mengundang mengah dan lelah. Pastinya akan ada fitnah dan tohmah, tapi bukankah ia adalah Sunnah? Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala permudahkan segala urusan dan meredhai setiap langkah untuk terus menjadi penerus dakwah Baginda Nabi Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam.

Setiap NGO mempunyai kepakaran dan kumpulan sasar tersendiri. Jika kekuatan ini digabung jalin berserta perancangan yg strategik, hasil dakwah akan lebih besar impak dan keberkesanannya, insya Allah.

Antara NGO yang terlibat adalah: MDN, ABIM, WADAH, YADIM Kedah, PUK, MAPIM, Ikram, PKPIM, Teras, Ummah Care, GPMS, Muhsinin Utara, Salimah, Yayasan Hasani, Peduli Insan, Aspirasi dan lain-lain.

Hadir sama, beberapa tokoh masyarakat seperti Dato’ Abdul Rahman Ismail (mantan pengarah Jabatan Agama Islam Kedah), Ustaz Zawawi Ahmad (CEO KIDU), YB Datuk Dr. Ismail Salleh (ADUN Pengkalan Kundur) dan ramai lagi.

Bengkel ini bertujuan untuk menyelaras dan menyubur kembali agenda dakwah khususnya di negeri Kedah. Perlaksanaan bengkel ini adalah cetusan idea setelah selesai Program Wacana Murabbi Ummat Almarhum Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil pada Oktober 2021 yang lalu.

ABIM Kedah dengan temanya, Sejahterakan Kedah Dengan Dakwah akan sentiasa mendokong sebarang inisiatif ke arah memajukan dunia dakwah di Kedah khususnya dan di Malaysia amnya.

Kenali dan sertai ABIM di sini: https://abim.contactin.bio

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti