Selamatkan Al-Quds:- Rakyat Malaysia Akan Anjur Himpunan Hari Kemarahan 2 Oktober 2015 - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Selamatkan Al-Quds:- Rakyat Malaysia Akan Anjur Himpunan Hari Kemarahan 2 Oktober 2015

Kuala Lumpur: Sekretariat Kempen Selamatkan Al-Quds bersama badan gabungan 40 badan bukan kerajaan (NGO) tempatan akan mengadakan `Himpunan Hari Kemarahan’ Jumaat ini, bagi mengecam pencerobohan dan keganasan rejim zionis Israel ke atas Masjidil Aqsa. Perhimpunan aman bertujuan merayu sokongan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan mengecam pencerobohan rejim zionis itu, akan diadakan selepas solat Jumaat di depan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di ibu negara.

Jurucakap sekretariat yang juga Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, perhimpunan itu ruang terbaik kepada setiap rakyat Malaysia untuk menyatakan solidariti ke atas isu Palestin dan Masjidil Al-Aqsa tanpa mengira agama, bangsa serta fahaman politik.

“Kita juga akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan AS pada perhimpunan aman itu,” katanya dalam sidang media di Taman Melawati di sini, sebentar tadi.

Sidang media itu turut dihadiri wakil Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Viva Palestina Malaysia (VPM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM). Selain itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS), Pertubuhan Kebajikan Penyayang Uswah (USWAH), MyCare, Aqsa Syarif, HALUAN, Yayasan Al Quds Malaysia dan Pertubuhan Kebudayaan Palestin (PCOM).