
7 Jan 2018 – Misi Bantuan Banjir 2018 Abim Pahang digerakkan untuk misi ke-2 di Kampung Pasir Panjang, Pekan. Misi bantuan kali ini turut disertai oleh Abim Pusat dan Global Peace Malaysia (GPM) yang diketuai oleh Sdr. Syahrir Azfar Al-Halabi II (Setiausaha Kewangan ABIM Pusat).
Selain itu, misi kali ini digerakkan bersama Ikatan Pelajar Islam Pahang, Mra Pahang Chapter, Kelab Perkim Kuipsas Rasmi, JKKK Pasir Panjang, Guru Besar dan guru-guru SK Pasir Panjang, wakil PPD Pekan, Jabatan Bomba, DRB-Hicom University dan Pasukan Pengakap SMK Seri Pekan.
Misi dimulakan dengan membersihkan SK Pasir Panjang selepas semua penduduk terjejas banjir pulang ke rumah. Sekolah perlu dibersihkan supaya boleh dibuka untuk sesi persekolahan. Selepas selesai membersih sekolah, misi bantuan diteruskan dengan ziarah dari rumah ke rumah untuk menyantuni penduduk terjejas banjir terutama warga emas dan terlantar sakit.
Biro Kesihatan ABIM Pahang telah menjalankan pemeriksaan kesihatan dan memberikan khidmat nasihat berkaitan dengan penyakit yang dihidapi. Misi diteruskan di sebelah petang dengan menziarahi penduduk terjejas banjir di Kampung Acheh dan SK Temai. Sepanjang misi bantuan ini, ABIM Pusat telah menyampaikan barang-barang keperluan dapur kepada penduduk terjejas banjir.
