Tabung Haji & Simbol Ekonomi Orang Melayu - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Tabung Haji & Simbol Ekonomi Orang Melayu

Oleh: Firdaus Hamsin

Ibadah Haji mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kerangka psyche masyarakat Melayu. Pengaruh tersebut dibuktikan Prof Dato’ Sr Mohammed Redzuan Othman dalam syarahan perdana berjudul “Merentasi Sempadan yang Melewati Zaman: Timur Tengah, Islam dan Masyarakat Melayu.

Prof Datuk Dr Mohammed Redzuan Othman mengatakan orang Melayu merupakan antara kelompok terbesar yang mengerjakan ibadah haji ke Mekah semenjak dahulu lagi. Untuk menunaikan ibadah tersebut , bakal haji atau hajjah perlu mengumpulkan wang perbelanjaan yang banyak terutama sekali untuk menampung kos pengangkutan ke tanah suci Mekah.

Justeru bukanlah mengejutkan sekiranya menunaikan ibadah ke Mekah ditanggapi sebagai impian seumur hidup. Bakal-bakal haji serta hajjah ini sanggup “mengikat perut” (mengumpul wang) untuk menunaikan rukun Islam yang ke-5 ini. Atas dasar ini pada 1959, Profesor Di Raja Ungku Aziz mengemukakan kertas kerja “Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji” pada tahun 1959.

Kemudian disusuli dengan penubuhan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji November 1962 yang kini dikenali sebagai Tabung Haji (TH). Menerusi Tabung Haji, bakal Haji atau Hajjah tidak perlu menunggu masa yang lama untuk menunaikan haji. Bahkan ibu bapa boleh mendaftarkan anak-anak mereka (seawal kelahiran) sebagai bakal haji atau hajjah menerusi caruman sebagai pendeposit TH.

Mengapakah polemik pembelian hartanah Tun Razak Exchange, TH mengundang kemarahan tak terperi bukan sahaja di kalangan para pendeposit, bahkan di khalayak umat Islam secara umumnya? TH secara keseluruhannya ditubuhkan untuk membolehkan orang-orang Islam menyimpan secara beransur-ansur bagi menunaikan fardhu haji atau perbelanjaan lain seperti pembiayaan pendidikan.

Para pendeposit TH juga dapat mengambil bahagian dengan lebih berkesan dalam aspek penanaman modal secara halal serta memberi faedah kepada kebajikan mereka. Kedudukan ekonomi semasa yang sentiasa berubah dan mencabar sangat sensitif di jiwa orang Melayu secara keseluruhan. TH adalah simbol jaminan serta kestabilan ekonomi orang Melayu.

Dengan modal tetap yang disalurkan secara bulanan (walaupun dalam jumlah yang kecil) orang Melayu dapat mengembangkan saiz ekonomi mereka. Menerusi TH juga Orang Melayu mengambil sikap futuristik untuk merancang masa depan mereka. Dalam erti kata lain pendeposit menjadikan TH sebagai wasilah untuk merancang serta mengembangkan kehidupan mereka.

Sebagai contoh, ramai ibu bapa yang merancang untuk memastikan anak-anak mereka menunaikan haji pada masa depan menerusi simpanan di TH Sekiranya polemik TH-TRX ini tidak di atasi dengan ketelusan, adakah orang Melayu mempunyai pilihan lain? Mungkin gagasan besar yang pernah diutarakan cendikiawan ulung, Za’ba, mungkin dirujuk semula.

Menerusi makalah beliau “Jalan Keselamatan Bagi Orang-Orang Melayu,” Za’ba mencadangkan orang Melayu untuk bekerjasama dalam bentuk institusi ataupun organisasi untuk meningkatkan kemampuan sosio-ekonomi mereka. Dalam erti kata rakyat berkuasa menentukan untung nasib mereka, yang kemudian diterjemahkan dalam bentuk institusi ataupun organisasi. Tabung Haji digagaskan atas suara dan hati nurani rakyat. Dari rakyat ia didirikan, kepada rakyat jua ia harus menyemai bakti. Jangan sampai kepercayaan ini hilang dan digantikan dengan “simbol” kepercayaan yang lain!