Tazkirah Perdana oleh Dato' Dr. Siddiq Fadzil, satu catatan renungan - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Tazkirah Perdana oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, satu catatan renungan

Sg. Ramal, 15 Julai 2014: TAZKIRAH PERDANA oleh: Dato’ Dr Siddiq Fadzil di Kolej Dar al-Hikmah (KDH) Sg Ramal Dalam, Kajang. Sebahagian daripada Majlis Iftar Jama’iy WADAH, ABIM, PKPIM dan Agensi-agensi CATATAN: Malam turunnya Al-Qur’an adalah lebih baik daripada seribu bulan. Namun, ia sebenarnya “seribu” menunjukkan banyak tanpa batas, universal! Sejarah akan punya erti apabila ianya diisi dengan hukum hakam Islam.

 

Alam ini tidak pernah sunyi dari bacaan Al-Qur’an walau sesaat pun dalam peredaran bumi timur dan barat ini. Sejauh mana kita terkesan dan dapat memanfaatkan Al-Qur’an?

Umar Abdul Aziz sangat terkesan dengan Surah 25. Al-Furqan:

Ayat 30: وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا 

Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”.

Oleh itu, Umar Abdul Aziz memastikan tiada hari yang berlalu dalam hidupnya tanpa membaca Al-Qur’an. Semakin besar perhatian kita kepada pembacaan Al-Quran, semakin banyak Al-Qur’an menyerlahkan rahsia-rahsianya kepada kita dalam kehidupan ini. Al-Qur’an: tilawah, tahfiz, tadabbur (melalui renungan), Taasur (Terkesan), pemahaman dan amalkan.

Kekuatan stylistic komunikasi yang sangat berkesan dalam Surah 2. Al-Baqarah,

Ayat 183: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. Walaupun ianya bukan ayat yang berbentuk arahan, tetapi ia adalah ayat yang penuh dengan penghargaan dan apresiasi.

Menurut Ibnu Mas’ud, ayat Al-Qur’an yang bermula dengan “wahai orang-orang yang beriman” akan disusuli dengan anjuran membuat kebaikan untuk dilaksanakan atau keburukan yang mesti dihindarkan.

Motivasi untuk melaksanakan ibadah berpuasa ini disertakan dengan outcome. Ada ganjarannya. Mukmin yang paling hebat adalah yang paling tinggi taqwanya. Puasa dengan outcomenya taqwa, intinya ialah melawan hawa nafsu, melawan keinginan-keinginan, melawan kebiasaan-kebiasaan dan ternyata ianya boleh! Bererti dengan berpuasa kita boleh melawan secara terus-terusan. Inilah satu proses transformatif yang sangat berkesan. Mujahadah (perjuangan melawan nafsu berterusan tanpa henti) sama seperti jihad tetapi kebiasaannya jihad dirujuk kepada perang yang berlaku sesekali.

Jangan salahkan syaitan dalam semua hal. Kisah bagaimana syaitan cukup takut dengan Umar Al-Khattab. Kalau Saidina Umar berjalan atas satu laluan, syaitan akan cari laluan lain. Masalahnya ialah kita melakukan kemungkaran kerana hawa nafsu dan kebiasaan-kebiasaan. Jadikanlah mujahadah sebagai satu cara hidup! Seorang hakim pernah memohon berhenti dari jawatannya daripada Khalifah Saidina Abu Bakar As-Siddiq kerana sepanjang tempoh 2 tahun beliau berkhidmat, tiada kes yang dibicarakan.

Itulah indahnya apabila mujahadah telah dijadikan sebagai satu cara hidup. Sepanjang 100 tahun selepas wafatnya Rasulullah SAW, kes pelaksanaan hudud zina hanya berlaku sebanyak 6 kali sahaja. Sedangkan, sebelum Islam, kes zina sebagai satu kebiasaan di kalangan masyarakat jahiliah.

Sebagai contoh banyak rumah yang ada bendera merah yang mengundang sesiapa untuk masuk melakukan maksiat! Pada tempoh masa yang sama, pelaksanaan hudud mencuri hanya berlaku sebanyak 4 kali.

Maka, merubahkanlah masyarakat sekarang, bermula di sini, kalau bukan kita yang memulakannya, siapa lagi! Kalau bukan sekarang bila lagi.

NOTA: Tulisan di atas adalah suatu cacatan yang tidak boeh dianggap menggambarkan maksud penyampai. Maka perlu dirujuk kepada rakaman Tazkirah tersebut untuk memahami intipati sebenar konteks penyampaian oleh penceramah.