Tentang Sampah, Sungai dan Sikap Orang Kita: Di Mana Silapnya?

September 18, 2021
editor@abim

Tentang Sampah, Sungai dan Sikap Orang Kita: Di Mana Silapnya?

Manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabi’i, manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka ia adalah agama yang mendorong semua umat Muslim untuk mencintai kebersihan.

Bahkan di dalam ayat-ayat Al-Quran dan beberapa hadith Nabi Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam. pun dijelaskan betapa pentingnya memperhatikan kebersihan. Dari Abu Hurairah radiyallAllāhu ‘anhu, Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Bersihkanlah segala sesuatu semampu kamu. Sesungguhnya Allah Ta’ala membangun Islam ini atas dasar kebersihan dan tidak akan masuk surga kecuali setiap yang bersih.” (Hadith Riwayat At-Tabrani).

Sesungguhnya, Islam adalah cara hidup yang mencakupi pergerakan manusia dari mula bangun tidur sehingga kembali semula ke tempat tidur. Jadi, jika ibadat solat mensyaratkan setiap umat Islam mementingkan kebersihan, begitu juga tuntutan Islam supaya kebersihan dipelihara setiap masa dalam kehidupan.

Tidak mungkin Islam hanya menitikberatkan soal kebersihan ketika seseorang Muslim hendak menunaikan ibadat sahaja, sedangkan kehidupannya diselubungi kekotoran yang tidak mencerminkan imej Islam sebagai agama suci.

Hakikatnya, kebersihan yang dituntut Islam bukan hanya membabitkan diri sendiri, bahkan persekitaran yang dikelilingi pelbagai makhluk Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Hal ini termasuklah menjaga kebersihan tempat awam. Sikap mementingkan diri sehingga mengotorkan kawasan orang ramai, akan menafikan hak orang lain untuk menikmati tahap kebersihan yang baik. Lebih parah lagi, keadaan sebegini merencatkan hubungan kasih sayang dan ehsan sesama insan serta makhluk lain.

Jom kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di Akhirat.

Firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 222: “Sesunggunhya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri.” Islam sangat menitikberatkan tentang penjagaan kebersihan dan mewujudkan suasana yang selesa di dalam semua keadaan sama ada ketika beribadat ataupun kehidupan seharian. Islam amat menyukai orang yang cintakan kebersihan serta sentiasa menjaganya kerana kebersihan adalah asas kepada kesihatan.

Perlu diketahui bahawa menjaga kebersihan ini termasuk di dalam ciri-ciri orang yang beriman, sebagaimana dalam sebuah hadith Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam: “Dari Abu Malik al-As’hari berkata: Sabda Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam: Kebersihan itu sebahagian daripada iman” (Riwayat Imam Muslim).

Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan telah memberi kelonggaran untuk merentas daerah di kebanyakan negeri. Jadi, peluang ini digunakan orang ramai dengan berkunjung ke kawasan percutian untuk menenangkan fikiran. Selain itu, ada yang membawa keluarga ke pantai untuk menikmati udara segar selepas lama berkurung di rumah.

Apabila pusat pelancongan dibuka, ia memberi kelegaan buat para peniaga serta pengusaha yang terpaksa menempuh dugaan berat sepanjang tempoh pandemik Covid-19. Namun, apa yang merisaukan adalah ramai yang memenuhi kawasan pantai, hutan lipur dan sungai, sehingga penuh sesak dengan orang ramai bagai semut menghurung gula.

Selain isu penjagaan SOP, sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata di kawasan rekreasi mengundang rasa kecewa orang ramai. Bukan saja merosakkan pemandangan, longgokan sampah di celah-celah batu dan di tepian sungai nyata mengundang persoalan tentang adab serta sikap masyarakat kita.

Sepanjang musim Covid-19, banyak kawasan sungai dan pantai yang dahulunya kotor, menjadi jernih kembali kerana kurangnya aktiviti manusia. Segala jenis pencemaran berkurangan, tetapi bila manusia mula kembali aktif, segala pencemaran kembali. Sampah sarap seperti plastik, sisa makanan serta lampin pakai buang yang menjijikkan, bertaburan di merata tempat di kawasan-kawasan rekreasi.

Jika tiada tong sampah disediakan, para pengunjung seharusnya membawa masuk sampah ke dalam kereta dan buang di rumah masing-masing. Paling utama, walau ke mana juga kita pergi, sebaik-baiknya kita membawa bekas untuk membungkus sampah sebelum dibuang di tong sampah yang kita jumpa.

Meskipun sudah boleh rentas daerah di kebanyakan kawasan, semoga kita tetap menjaga kebersihan alam sekitar. Atas semangat cintakan negara, sayangkan kebersihan dan alam sekitar, para aktivis ABIM, PKPIM dan agensi terlibat dalam beberapa program untuk membersihkan kawasan yang dipenuhi sampah.

Pada 17hb September 2021, anak muda dari Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) Ampang dengan bersemangat membersihkan sungai kita di Hutan Lipur Ulu Perdik, Hulu Langat, Selangor.

Di Kelantan, sempena cuti Hari Malaysia (16hb Septermber 2021), para pelajar Madrasah Pengajian Islam (MPI) – Islamic Outreach ABIM (IOA) Kelantan mengisi ruang kemerdekaan ini dengan melakukan aktiviti #plogging di kawasan Dataran KADA Kok Lanas.

Pelajar-pelajar MPI bergabung bersama para relawan cilik Taman Sri Dendang, Ketereh. MPI merupakan pusat pengajian asas Islam kepada anak-anak Orang Asli serta Saudara Baru dari seluruh Malaysia, juga luar negara.

Terdahulu, pada 23-26hb April 2019, para aktivis PEPIAS dan ABIM Kuala Langat melakukan pembersihan dan kempen #CleanUpChallenge #SayNoToLittering dalam program Go Green di kawasan tepi Jalan Waja, Telok Panglima Garang, yang mana tempat yang dijadikan sebagai tempat pembuangan sampah haram mereka yang tidak bertanggungjawab sebagai tapak program.

Pada 10hb Februari 2019, aktivis ABIM dan Majlis Belia Malaysia (MBM) turut bersama dengan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan YM Che Puan Khaleeda yang berkenan berangkat menghadiri Program Anak Muda Bangsa Johor (TEMASHOR) daerah Johor Bahru yang diadakan di Kampung Sungai Melayu Tebrau, Bakar Batu, Johor Bahru.

Dalam program anjuran Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) ini, baginda turut bersama-sama para belia serta sukarelawan melakukan kerja gotong-royong membersihkan sungai di kawasan tersebut.

Program tersebut secara tidak langsung mengajak serta mendidik masyarakat untuk menghargai alam sekitar dan tidak membuang sampah sarap sewenang-wenangnya sekaligus memupuk kesedaran tentang pentingnya aspek kebersihan. Turut diadakan, dialog mengenai idea masa depan belia dan negara antara TMJ dan para belia, diketuai oleh Sdra. Jufitri Joha, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), yang juga mantan Naib Presiden ABIM.

Pada 23-26hb November 2018, aktivis Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia) telah menyediakan taman permainan daripada bahan guna semula dan terbuang yang murah, lasak dan mengurangkan sampah di tebing sungai di Rincing, Semenyih.

Pada Mei 2016, para aktivis ABIM dan Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia) bersama dengan ASA IIUM, KICT, pentadbiran UIAM dan warganya telah menjayakan aktiviti bersih sungai sebagai usaha membangun taman-taman indah di UIAM. Dalam program ini juga ada pertandingan bagi ketegori sampah terbanyak dan paling pelik.

Pelbagai objek yang berhasil dikutip dari dasar sungai – setiap pasukan ada menemukan objek-objek tersendiri. Ada juga pertandingan rekacipta untuk menyaring lumpur dan bendasing daripada air sungai sehingga air menjadi jernih. Di akhirnya kita mesti bertindak dan fikirkan bagaimana untuk memulihkan sungai semula kerana pencemaran ini datangnya dari manusia jua.

Kesimpulannya, semoga usaha kecil ini memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk sama-sama berkomitmen menjaga alam sekitar. Kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala kita bergantung, sesama masyarakat dan rakyat kita tolong-menolong.

Kita perlu lebih ambil berat tentang didikan kebersihan, dari zaman kanak-kanak di rumah dan di bangku sekolah. Semua pihak perlu mainkan peranan untuk membudayakan penjagaan kebersihan. Kalau bukan kita, siapa lagi?

#SebarkanSalam

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo