The Pocket Rocket Man Dan Kuasa Advokasi - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

The Pocket Rocket Man Dan Kuasa Advokasi

Ketika sukan Olimpik 1968, dua atlit African-American iaitu Tommie Smith dan John Carlos telah menunjukkan aksi protes mereka sewaktu majlis menerima pingat di atas kemenangan mereka. Protes tersebut dibuat dalam bentuk aksi mengangkat tangan serta menggengam penumbuk mereka yang dipakai sarung tangan berwarna hitam dan mereka mengangkatnya sehingga lagu kebangsaan Negara mereka berhenti.

 

Malah kedua-dua mereka termasuk pemenang pingat perak ketika itu iaitu Peter Norman dari Australia telah memakai lencana hak asasi kemanusiaan yang dilekatkan pada jaket mereka. Dalam biografinya kemudian, Tommie Smith menerangkan bahawa aksi protes tersebut bukan bermakna “Black Power” tetapi penghormatan yang dikenali sebagai “human rights salute”.

Ini adalah sejarah yang dikenali seagai “Black Power Salute” dalam sukan Olimpik yang dianggap sebagai pernyatan politik paling menonjol dalam sejarah moden Sukan Olimpik. Respon badan utama sukan tersebut iaitu International Olympic Committee sebagaimana dijangka adalah untuk menggantung kedua-dua atlit tersebut dan selanjutnya mereka telah disingkirkan.

Alasan penyingkiran adalah kerana kedua-dua atlit tersebut telah menyalahi spirit asas sukan Olimpik iaitu dengan mengeluarkan atau menunjukkan aksi pernyataan politik yang boleh mengundang ketegangan dan menganggu temasya suka berprestij tersebut. Pada tahun 2008 selepas kedua-dua atlit ini mengharungi pelbagai tribulasi akibat tindakan berani protes mereka tersebut, kedua-dua nya telah menerima anugerah Arthur Ashe Courage Award di atas keberanian protes mereka tersebut. Keberanian ahli-ahli sukan dalam menunjukkan simpati, sokongan dan melaksanakan advokasi kesedaran hak asasi kemanusiaan bukanlah perkara baru dalam sejarah sukan dunia.

Azizulhasni Awang hanya mengulangi sejarah tersebut dengan tema yang lebih kukuh dan di temasya yang lain. Ketika kecoh Azizulhasni Awang menunjukkan sarung tangannya yang jelas mempamerkan sokongan simpatinya bersama rakyat Gaza, ia tidak lain adalah pendirian seorang muslim yang bertanggungjawab dan seorang ahli sukan yang mengetahui segala impak dan risiko sekiranya dia berbuat demikian termasuk risiko akan digantung dan disingkirkan dalam acara yang disertainya.

Maka sebab itu Azizulhasni Awang adalah seorang hero dan seluruh rakyat mesti mempertahankan beliau. Sokongan dan keberanian yang dibuat oleh Azizulhasni Awang datang bersama self conviction yang tinggi terhadap kesedaran advokasi peduli ummat malah dengan implikasi terhadap masa depan kariernya sebagai seorang teraju sukan berbasikal negara yang telah mencipta rekod dan nama sebagai antara atlit terbaik Negara.

Sekalipun beliau pulang tanpa pingat, nama, keberanian, kesungguhan serta spiritnya yang luar biasa telah meledakkan namanya di Glasgow dan rakyat Malaysia mesti terus menyokong beliau atas nama kemanusiaan dan peduli ummat. Sesunggunya kali ini nama Azizulhasni Awang telah meledak bukan kerana kayuhannya yang padu sebagai The Rocket Pocket Man tetapi telah menembusi dunia dengan kayuhan yang telah menggegarkan dunia dengan sarung tangan yang meledakkan inspirasi dokongan buat rakyat Gaza! ‪

Disediakan Oleh: Puan Fadhlina Siddiq, Naib Presiden (HELWA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)