Umat Islam Perlu Pertingkat Daya Fikir: Tariq Ramadan - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Umat Islam Perlu Pertingkat Daya Fikir: Tariq Ramadan

Dr Tariq Ramadan (official) menegaskan keperluan menggerakkan daya fikir umat. Bahawa kelebihan umat Islam masa lalu adalah kerana kemampuannya menggerakkan keupayaan aqal bagi memecahkan persoalan yang berbangkit dalam masyarakat. Inilah yang ‘memaksa’ para tokoh masa lalu menghasilkan ‘original ideas’ yang mendorongkan pembinaan tamadun Islam yang gemilang.

‘Sindrom mendapatkan fatwa’ dalam pelbagai perkara oleh masyarakat menggambarkan sikap malas berfikir, ketidaksediaan untuk ‘exercising his own mind’ dan merupakan usaha mencari jalan mudah bagi menyelesaikan masalah. Sikap seperti ini membolehkan seseorang memindahkan sebarang kesilapan yang kemudiannya terjadi kepada mereka yang memberi fatwa (mufti).

Satu bentuk pelarian dari tanggungjawab. Tentunya ada perkara-perkara yang spesifik mengenai ibadah yang melibatkan haram-halal, sah dan batal (terutama kerana kemunculan perkara-perkara baru akibat perkembangan zaman dan masa) memerlukan rujukan mufti. Tetapi banyak permasalahan lain dapat dipecahkan oleh masyarakat tanpa perlu ‘memaksa’ mufti mengeluarkan fatwa mereka.

Hal yang demikian boleh terjadi sekiranya masyarakat menjadi masyarakat berfikir (thinking society) sesuai dengan ciri umat sebagai masyarakat berbudaya ilmu dan berwacana.

Tetapi selagi kita menyerahkan ‘tugas berfikir’ kepada kelompok khusus yang kecil bilangannya, sedang umat hanya menunggu dan menanti fatwa mereka, maka selagi itulah kita tidak akan mampu mengembangkan potensi dan daya fikir umat dan selagi itulah kita tidak akan mampu mendepani cabaran-cabaran besar dengan solusi yang viable untuk umat dan dunia. Maka kita kekal dengan ciri yang melemahkan umat seperti yang digambarkan oleh Malek Bennabi, الضعف والكسل في التفكير (lemah dan malas berfikir), masyarakat akan kekal sebagai masyarakat taqlid – dalam hampir semua urusan. Ikuti petikan beliau mengenai isu terbabit menerusi video di bawah.