SHAH ALAM, 11 APR: Masyarakat perlu lebih matang dan terbuka untuk berdialog mengenai percanggahan pandangan dalam isu agama tanpa perlu menyekat mana-mana individu menyampaikan syarahan. Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata pihaknya menyokong sebarang cadangan program perbincangan ilmiah dan berharap polis memberikan pertimbangan semula supaya ia dapat diteruskan. “Perbincangan mengenai agama dan intelektual ini sepatutnya dilakukan secara dialog. Sudah sampai masanya masyarakat seharusnya lebih terbuka untuk berbincang bahkan diperkatakan seluruh dunia. “Menggunakan undang-undang untuk menghalang program berbentuk dialog, penerangan dan wacana ini kita rasakan tidak seharusnya berlaku,” katanya kepada SelangorKini. (http://m.selangorku.com/?post=93768) Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan polis tidak membenarkan program syarahan pendakwah Islam terkenal Dr Zakir Naik di Universiti Teknikal Malaysia Melaka diteruskan Ahad ini.