
ABIM Sabah turut berduka dengan kejadian yang terjadi kepada Allahyarham Zara Qairina. ABIM Sabah ingin merakamkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Zara. Didoakan roh Allahyarhamah dalam naungan lindungan rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam golongan yang bertaqwa, beriman dan soleh, serta dikurniakan kekuatan dan kesabaran kepada keluarga yang ditinggalkan.
Sebagai warganegara yang prihatin, kita amat berduka dengan pemergian Zara, namun perlu berhikmah dan berhemah dalam menanggapi isu Allahyarhamah Zara. Islam mengangkat martabat insan (Karamah Insaniah) dan menjaga maruah manusia, oleh yang demikian sebagai masyarakat yang bertanggungjawab dan prihatin; fitnah, tuduhan dan dakwaan jahat perlu dijauhi dan dielakkan agar tidak menjatuhkan maruah orang lain dan menjaga keharmonian antara sesama masyarakat.
Keadilan dan kebenaran akan terungkap sekiranya kita bekerjasama untuk memudahkan tugasan pihak berwajib untuk menjalankan siasatan dan mencari bukti melalui proses yang adil.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6 dan 12 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ ٦
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.
(Surah Al-Hujurat : 6)
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ ١٢
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(Surah Al-Hujurat : 12)
Mengambil tadabbur dan iktibar dari Surah Al-Hujurat, ayat ke-6 dan ke-12, boleh disimpulkan beberapa perkara penting iaitu:
1. Selidik (Tabayyun) sesuatu khabar atau berita, tidak terima bulat-bulat dan perlu ada fakta dan bukti sebelum menerima berita. Akibat daripada khabar atau berita yang tidak benar dan tepat, akan mengundang prasangka, fitnah, spekulasi, perpecahan, propaganda dan kekecohan. Kita tidak mahu ada penyesalan kerana telah menjadi agen penyebar prasangka dan fitnah yang akhirnya akan membawa akibat yang lebih buruk, di dunia mahupun di akhirat.
2. Menjauhi prasangka (Melakukan tuduhan dan sangkaan jahat) dan ‘Tajassus’ (تَجَسَّسُو), iaitu mencari-cari dan mengintai-intai kesalahan dan aib orang lain serta ‘Tahassus’ (تَحَسُّس), iaitu mencuri dengar aib orang lain, yang boleh menimbulkan rasa hasad dengki, iri hati dan fitnah, serta larangan untuk mengumpat (Mengata yang buruk terhadap orang lain).
Oleh yang demikian, bagi menanggapi isu ini dengan berhikmah dan berhemah, maka ABIM Sabah mencadangkan beberapa perkara bagi membantu meredakan letusan spekulasi yang boleh membawa kepada fitnah, mengaibkan orang dan menjatuhkan maruah.
1. Menyeru masyarakat untuk menapis maklumat dan selidiki maklumat agar tiada dakwaan yang berunsur fitnah, tuduhan dan prasangka dengan merujuk terus kenyataan dari peguam keluarga Zara dan pihak terlibat yang menguruskan kes Zara ini serta berhikmah dan berhemah dalam menyampaikan maklumat.
2. Menyeru masyarakat untuk memberikan ruang kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan terperinci dalam kes Zara ini bagi pihak berkuasa mendapatkan bukti dan menghormati proses dan prosedur berkenaan bagi mencari kebenaran dan keadilan.
3. Memohon masyarakat untuk mengawal emosi dan tidak membuat andaian, kerana andaian bukannya bukti yang boleh membantu perkembangan kes Zara, malahan jatuh kepada ‘Tajassus’, iaitu mencari dan mengintai kesalahan orang lain, yang akan mengundang kepada fitnah. Jika ada andaian, dakwaan dan tuduhan berkaitan, dicadangkan untuk membuat laporan berkaitan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
4. Menyeru pihak berkenaan untuk tidak menggunakan kes Zara untuk kepentingan tertentu dengan menyebarkan rasa kebencian dan kemarahan, menyebarkan fitnah dan tuduhan tidak berasas kepada pihak berwajib, sebaliknya menyebarkan salam dan maklumat yang betul.
5. Mendesak masyarakat untuk tidak terjebak menjadi pembuli di media sosial atau pembuli siber (Cyber bullying) dan menjadi agen penyebar fitnah dengan membuat andaian dan tuduhan jahat.
6. Memohon pihak Kementerian Komunikasi Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau secara berterusan letusan spekulasi di media sosial yang tidak terkawal dan mengeluarkan spekulasi tersebut di media sosial bagi mengelakkan penyebaran fitnah yang semakin berleluasa.
7. Memohon pihak yang mempunyai autoriti dalam memberikan sistem sokongan (seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) untuk terus memberikan sokongan psikologi dan emosi kepada keluarga Zara, guru-guru, ibu bapa dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha.
8. Memohon semua pihak untuk terus berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan dalam kes Zara ini.
9. Jika ada maklumat berkaitan dengan kes Zara, jangan segan untuk terus berhubung dengan peguam keluarga Zara dan pihak yang terlibat.
Mohd Zikri Zainudin
Yang Dipertua
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah
