
KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
INSIDEN DI SMK BANDAR BANTING: TRAGEDI YANG MENUNTUT MUHASABAH NASIONAL DAN TINDAKAN MENYELURUH
7 Julai 2026 | 21 Muharram 1448H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan rasa amat dukacita terhadap insiden yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Bandar Banting, Kuala Langat, yang telah menggemparkan seluruh negara.
ABIM mendoakan agar mangsa diberikan kesembuhan yang segera, keluarga dikurniakan ketabahan, dan seluruh warga sekolah diberikan kekuatan untuk melalui ujian yang amat berat ini. Penghargaan turut dirakamkan kepada Polis Diraja Malaysia. (PDRM), pihak sekolah, petugas kesihatan serta semua agensi berkaitan yang bertindak pantas mengawal keadaan, memberikan rawatan dan memastikan keselamatan warga sekolah terus terpelihara.
Dalam masa yang sama, ABIM menyeru seluruh masyarakat agar memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus, profesional dan bebas daripada sebarang tekanan. Penyebaran maklumat yang tidak disahkan, andaian mengenai motif serta spekulasi di media sosial hanya akan mengganggu proses siasatan, menambah keresahan masyarakat dan meningkatkan penderitaan mangsa serta keluarga.
Namun demikian, tragedi ini tidak boleh dilihat sekadar sebagai satu kes jenayah yang akan berakhir apabila siasatan selesai. Ia merupakan satu isyarat yang amat serius bahawa negara perlu menilai semula ekosistem yang sedang membentuk kehidupan, pemikiran dan sahsiah generasi muda hari ini.

Realiti kehidupan remaja pada masa kini jauh berbeza berbanding dekad yang lalu. Anak-anak bukan sahaja dipengaruhi oleh keluarga, sekolah dan rakan sebaya, bahkan dibentuk setiap hari oleh dunia digital yang beroperasi tanpa sempadan. Kandungan yang memaparkan keganasan, budaya yang menormalisasikan perlakuan ekstrem, komuniti dalam talian yang toksik, buli siber, budaya kebencian serta algoritma yang mengutamakan kandungan sensasi berpotensi mempengaruhi perkembangan emosi, pemikiran dan tingkah laku golongan muda sekiranya tidak disertai dengan pendidikan, bimbingan dan kawal selia yang mencukupi.
ABIM menegaskan bahawa kenyataan ini bukan bertujuan mengaitkan mana-mana kandungan, platform atau faktor tertentu sebagai punca kepada insiden yang sedang disiasat. Sebarang kesimpulan mengenai motif dan faktor penyumbang hendaklah diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berdasarkan bukti. Namun sebagai sebuah masyarakat yang bertanggungjawab, kita juga tidak boleh menutup mata terhadap perubahan besar yang sedang berlaku dalam kehidupan digital anak-anak dan remaja yang memerlukan pendekatan baharu, lebih menyeluruh dan lebih berani.
Sehubungan itu, ABIM menyambut baik langkah Kerajaan Madani untuk memperkukuh kawal selia penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja bawah umur. Walau bagaimanapun, usaha tersebut perlu diperkasakan dengan lebih agresif melalui mekanisme pengesahan umur yang berkesan, peningkatan akauntabiliti syarikat penyedia platform digital, pemantauan terhadap algoritma yang mempromosikan kandungan berisiko serta tindakan yang lebih pantas terhadap kandungan yang menggalakkan keganasan, buli siber, eksploitasi seksual, penyalahgunaan dadah, perjudian dalam talian dan perlakuan yang boleh memudaratkan perkembangan psikologi generasi muda. Keselamatan digital mesti menjadi sebahagian daripada agenda keselamatan negara.
ABIM turut berpandangan bahawa usaha memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan murid perlu dilaksanakan secara bersepadu dengan melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi pengajian tinggi, badan masyarakat sivil serta penyedia platform digital.
Usaha tersebut hendaklah memberi penekanan kepada pembinaan adab dan karakter, pengukuhan kesihatan mental, pencegahan buli dan keganasan, literasi digital, keselamatan siber, pemerkasaan ibu bapa dalam memantau penggunaan internet anak-anak serta mekanisme pengesanan awal terhadap perubahan tingkah laku yang berisiko.
Dalam aspek kesihatan mental, ABIM berpandangan bahawa negara perlu beralih daripada pendekatan yang bersifat reaktif kepada pendekatan pencegahan. Program saringan kesejahteraan mental secara berkala, penambahan kaunselor dan psikologi pendidikan, latihan kepada guru untuk mengenal pasti tanda-tanda awal tekanan emosi serta pemerkasaan ibu bapa dalam memahami perubahan tingkah laku anak-anak perlu dijadikan sebahagian daripada dasar pendidikan negara. Kesihatan mental tidak boleh lagi dianggap sebagai isu sampingan, sebaliknya merupakan elemen penting dalam pembinaan insan dan kesejahteraan negara.
ABIM juga menegaskan bahawa sekolah tidak boleh dipertanggungjawabkan secara bersendirian. Keluarga merupakan institusi pertama yang membentuk akhlak dan nilai kehidupan anak-anak. Dalam masa yang sama, komuniti setempat juga perlu diperkasakan sebagai ekosistem perlindungan sosial. Masjid, surau, persatuan penduduk, pertubuhan belia, badan bukan kerajaan, institusi keagamaan, kelab sukan, sukarelawan komuniti serta pemimpin masyarakat perlu menjadi rangkaian sokongan yang mampu mengenal pasti lebih awal perubahan tingkah laku, tekanan emosi dan gejala yang membimbangkan dalam kalangan remaja. Mencegah sentiasa lebih baik daripada merawat.
Tragedi ini turut mengingatkan bahawa pendidikan tidak boleh diukur semata mata melalui pencapaian akademik. Pendidikan yang sebenar ialah pendidikan yang melahirkan manusia yang berilmu, beradab, berakhlak mulia, mempunyai ketahanan emosi, menghormati nilai kehidupan, mampu mengurus konflik secara damai serta bertanggungjawab terhadap masyarakat. Inilah asas pendidikan yang sentiasa diperjuangkan oleh ABIM.
ABIM berharap insiden ini menjadi titik perubahan kepada satu Agenda Nasional Keselamatan dan Kesejahteraan Kanak Kanak serta Remaja yang menggabungkan reformasi pendidikan, pengukuhan institusi keluarga, pemerkasaan komuniti, penjagaan kesihatan mental, keselamatan digital serta pembinaan adab sebagai teras utama. Negara tidak boleh hanya bertindak apabila tragedi berlaku, sebaliknya perlu membina satu sistem yang mampu mengesan, mencegah dan melindungi sebelum sesuatu tragedi berlaku.
Keselamatan anak-anak merupakan amanah seluruh negara. Membina generasi yang berilmu, beradab, berperikemanusiaan dan memiliki daya tahan menghadapi cabaran zaman bukan sekadar tanggungjawab ibu bapa atau sekolah, tetapi merupakan tanggungjawab bersama kerajaan, institusi masyarakat, sektor swasta, penyedia platform digital dan seluruh rakyat Malaysia.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
